KUALA LUMPUR - Pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak setahun lalu masih membekas luka buat para penyokong dan keluarga bekas Perdana Menteri itu.
Selepas genap setahun, mereka masih memperjuangkan 'pembebasan' bekas Presiden UMNO itu, yang didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Terbaharu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa dalam kemas kini di laman sosial meluahkan perasaan, mendakwa setahun bapanya di dalam Penjara Kajang adalah tempoh kezaliman yang perlu dilalui bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
"Saya masih kagum dengan komitmen anda untuk sentiasa melakukan perkara yang betul dan memilih jalan yang mulia dalam dunia penipuan dan ketidakadilan yang kompleks.
"Anda pernah memberitahu saya bahawa kepimpinan adalah medan perang, penuh dengan luka dan lebam. Hanya pemikiran strategik dan daya tahan yang boleh menyediakan diri seseorang,” tulis Noryana dalam entri berkenaan pada Rabu.
Dengan memuat naik poster tertera 'Genap Setahun Najib Terus Dizalimi', Exco Puteri UMNO itu menambah, dia berikrar untuk sentiasa berada di sisi bapanya dan bersama-sama meneruskan perjuangan dalam mendapatkan keadilan.
Sebelum ini media melaporkan Nooryana menegaskan, perjuangan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil terhadap Najib akan diteruskan.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda dalam kes SRC International.
Pada 23 Ogos tahun lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun atas pertuduhan tersebut, dan dibawa ke Penjara Kajang.
Ketika ini, Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.
Untuk rekod, pada 4 Julai 2018 Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC, sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Beliau sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama, yang merupakan hasil kegiatan haram.
Kesemua kes dibicara bersama.
ARTIKEL BERKAITAN: Genap setahun Najib dipenjara
Genap setahun Najib di tirai besi
Najib diperintah jalani hukuman penjara