SHAH ALAM - Kira-kira 100 bakal jemaah umrah kecewa dan sedih berikutan penerbangan mereka ke Arab Saudi dibatalkan pada saat-saat akhir iaitu pada Isnin.
Kebanyakan mereka telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari Kelantan, Perak, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah kerana dimaklumkan akan berlepas jam 3.10 petang hari sama dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.
Salah seorang mangsa, Noor Hazwani Kee A Chuan, 37, berkata, dia bersama ibu, bapa dan seorang kakak mengambil pakej umrah dengan sebuah agensi dengan setiap seorang dikenakan bayaran kira-kira RM10,000.
"Malangnya, kami bukan sahaja tidak dapat menunaikan ibadah di Tanah Suci, malah turut bimbang wang yang kami bayar lesap begitu sahaja.
Noor Hazwani dari Tumpat, Kelantan berkata, agensi terbabit membuat pelbagai janji kepada bakal jemaah kononnya mereka berlepas pada Selasa atau Rabu.
"Sebaik sampai (di KLIA pada Isnin) saya mula tak sedap hati apabila wakil agensi memaklumkan penerbangan kami ditangguhkan pada (Selasa).
"Semalam, kami dimaklumkan agensi umrah mengalami masalah teknikal dan pihak mereka akan berusaha untuk selesaikan masalah ini segera, namun hari ini (Rabu) kami diminta untuk berkumpul di KLIA semula untuk dihantar pulang," jelasnya.
Noor Hazwani memberitahu, sepanjang dua hari itu, pihak agensi menempatkan bakal jemaah umrah di sebuah hotel berdekatan.
"Kami tertarik mengikuti pakej ditawarkan oleh pihak agensi kerana syarikat ini dikenali dan telah beroperasi lebih 20 tahun di Kelantan.
Menurutnya, masalah dihadapi bakal jemaah umrah itu berlaku kali kedua selepas agensi memaklumkan penerbangan mereka ditangguhkan pada 12 Ogos lalu.
"Kami kecewa dengan sikap pihak agensi yang mengendalikan pakej tersebut sedangkan wang telah pun dijelaskan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, laporan polis telah dibuat pada Rabu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang manakala laporan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah dibuat,
"Kami juga dalam proses membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.