Kelantan tak rela kalah

Iklan
Mohd Fauzi (kanan) galas tugas selaku penggempur Kelantan apabila berdepan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam esok.

KELANTAN tidak boleh tewas jika pasukan itu berhasrat keluar daripada zon penyingkiran apabila bertemu Pulau Pinang pada saingan Liga Premier di Stadium Bandaraya, Georgetown malam esok.

Sebaliknya, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah menegaskan, pasukannya perlu mencari kemenangan meskipun sedar mereka berdepan tugas getir untuk merealisasikan misi tersebut di gelanggang lawan.

Iklan
Iklan

"Memang ia menjadi satu perlawanan wajib menang kerana kita tidak mahu ketinggalan jauh dengan pasukan seperti Sarawak, Pulau Pinang dan UKM FC yang hanya dibezakan satu hingga dua mata dengan Kelantan.

"Bercakap mengenai peluang, saya tetap optimis Kelantan mampu berbuat sesuatu, malam esok. Cuma kita kena lebih waspada dengan gerakan kedua-dua sayap lawan terutama Makeche (Ndumba) yang kerap mengucar-ngacirkan pertahanan kita dalam pertemuan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Perlis itu mengakui misi memburu mata penuh menjadi lebih sukar memandangkan TRW buat pertama kali tidak akan menurunkan kesemua pemain import mereka, mengharungi baki saingan musim ini.

Menurutnya, Kelantan terus kempunan menggunakan pertahanan, Cassio de Jesus susulan kecederaan jangka panjang manakala dua pemain lagi iaitu masing-masing dari Brazil dan Afghanistan, Flavio Beck Junior serta Mustafa Zazai sudah meninggalkan pasukan itu.

Iklan

"Saya perlu akur dengan keadaan semasa apabila Kelantan akan bermain tanpa pemain import dan saya perlu memandang ke depan dengan menggunakan pemain yang ada.

"Kekurangan ini amat jelas tetapi saya tekankan kepada pemain, tanpa import kita kena beraksi dengan lebih semangat berpasukan. Jika bergantung pada kekuatan individu, kita tak mampu bersaing untuk memberi tekanan seterusnya mencuri mata di sana," katanya.

Yusri berkata, barisan pemain tempatan kini menggalas tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan Kelantan tidak menjadi mangsa kebangkitan skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid, pada pertemuan itu.

"Saya sedar jentera serangan kita agak tumpul ketika seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang, minggu lalu. Kojie (Mohd Fauzi Roslan) dan Nik Azli (Nik Alias) perlu memainkan peranan lebih besar selaku penyerang dengan bekerja lebih keras untuk mencari jaringan buat pasukan," katanya.