Limpahan rezeki jual durian longgok tepi jalan

Iklan
Fatimah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mok Timah menjual selonggok durian kampung mengandungi enam biji pada harga RM50.

MARANG - Musim durian yang sudah bermula di Terengganu memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga di sini menambah pendapatan dengan menjual raja buah itu kepada penggemar durian sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.

Peniaga durian tepi jalan, Fatimah Ismail, 72, atau lebih dikenali sebagai Mok Timah berkata, dia menjual selonggok durian kampung yang mengandungi enam biji pada harga RM50.

Iklan
Iklan

"Saya jual pada musim durian di tepi jalan ini dengan harga murah sebab nak bagi orang ramai dapat rasa keenakan durian diambil dari kebun sendiri dan ada juga ambil dari dusun di sekitar sini.

"Tak kira untung sangat sebab niat memang nak jual membolehkan pelanggan kurang berkemampuan menikmati durian kampung asli dari dusun pada harga murah dan berpatutan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Lubuk Batu di sini baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, Mok Timah berkata, permintaan terhadap raja buah itu bertambah ketika hujung minggu dan sehingga kini antara pelanggan paling jauh pernah singgah membeli duriannya berasal dari Selangor.

"Saya jual durian secara selonggok di tepi jalan. Faktor itu menyebabkan selain orang kampung, pelanggan dari negeri lain juga tertarik nak beli durian di sini.

Iklan

"Saya jual durian ini semasa musim durian sahaja. Hasil jualan tersebut sedikit sebanyak beri peluang pada penduduk kampung seperti saya dapat rezeki untuk jana pendapatan," ujarnya.

Sementara itu, pelanggan, Siti Zabidah Talib, 65, berkata, dia sanggup membeli durian di sini memandangkan harga durian yang dijual murah berbanding di bandar.

Siti Zabidah

"Memang nak cari durian kampung nak makan bersama anak-anak dan cucu.

"Saya yang tinggal di Seberang Takir sanggup datang jauh ke sini sebab mahu beli durian pada harga murah," ujarnya.

Selain itu, pesara kerajaan, Mohd Ismail Muda Muhamad, 76, berkata, dia yang ingin menikmati masakan ikan patin tempoyak bersama keluarga turut membeli tempoyak yang dijual oleh Mok Timah.

Mohd Ismail

"Nak masak ikan patin tempoyak sebab itulah beli isi tempoyak di sini yang dijual harga murah iaitu RM40 untuk 2 kilogram.

"Harga durian dan isi tempoyak dijual di sini murah berbanding dijual di bandar yang boleh mencecah harga ratusan ringgit," ulasnya.