BUAT julung kalinya Astro menganjurkan Astro Badminton Cup (ABC) 2023 kepada pelanggannya untuk merasai pengalaman eksklusif bagi merebut hadiah lumayan bernilai RM30,000.
Kejohanan terbuka yang diadakan selama tiga hari di gelanggang Setia Badminton Academy, Kuala Lumpur baru-baru ini berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta daripada semua lapisan peringkat umur.
Kejohanan itu menjadi batu loncatan buat pemain muda tempatan yang berbakat untuk merasai pengalaman bermain dalam saingan kompetitif seperti ini.
Dalam pada itu, peserta juga berpeluang untuk bermain dan beramah mesra bersama pemain kebangsaan dan olimpian negara yang hadir memeriahkan lagi kejohanan iaitu Goh V Shem, Chan Peng Soon, Low Juan Shen dan Nur Mohd Azriyn Ayub.
Pemain beregu lelaki profesional negara, V Shem berkata, menerusi program sebegini lebih ramai bakat baharu sukan badminton dapat diketengahkan serta dapat mempromosi gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.
"Saya menyokong inisiatif Astro mengadakan kejohanan di peringkat komuniti seperti ini di mana para pemain elit negara juga dapat peluang bersama-sama untuk aktif menyalurkan tenaga dan berkongsi pengalaman mereka dalam program yang sudah pasti dapat memberi inspirasi kepada mereka," katanya.
Bagi pemenang untuk kategori beregu campuran yang juga dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP), Chung Kin Seng teruja apabila mendapat peluang pertama kali bermain dalam kejohanan profesional seperti itu dalam kategori beregu dan menjadi platform buat pemain-pemain badminton sosial mempamerkan potensi masing-masing.
"Ini adalah pendedahan terbaik buat pemain-pemain muda yang dilihat sebahagiannya begitu menyerlah dan mungkin membuka ruang kepada mereka untuk bermain dengan pasukan-pasukan elit pada satu hari nanti.
"Saya berharap lebih banyak kategori yang akan dibuka terutama untuk kategori perseorangan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, melihat sambutan yang memberangsangkan, pihaknya akan mempelbagaikan lagi tawaran kepada pelanggannya melalui program-program sukan.
"Kita yakin ramai pelangan Astro merupakan peminat sukan dan ini baru permulaan untuk kita menganjurkan lebih banyak sukan lain yang bukan hanya badminton pada masa akan datang,” katanya.