ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM400 kepada 5,600 kakitangan awam di negeri ini bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam pada 27 Julai lalu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengikuti langkah kerajaan Persekutuan ketika itu kerana pembayaran dibuat terlalu hampir dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan dibimbangi ia dikaitkan dengan sogokan pilihan raya.
"Namun kita tak buat waktu itu kerana bimbang ia jadi sogokan pilihan raya, jadi keputusan dibuat untuk agihkan selepas PRN berakhir,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi memaklumkan, bantuan tersebut membabitkan peruntukan RM2.08 juta yang akan dibayar pada 14 September depan.
Pada 27 Julai lalu, Anwar mengumumkan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala RM200 kepada pesara kerajaan.
Bantuan itu memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara sementara menunggu proses pelarasan gaji dan elaun penjawat awam diperincikan.