Malaysia-Australia beri komitmen terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara

Iklan
Mohamad dan Marles ketika pertukaran kenyataan bersama selepas Mesyuarat Ketiga Malaysia-Australia Joint Defence Programme (MAJDP) High Level Committee (HLC) sewaktu lawatan rasminya ke Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Australia pada Rabu menyatakan komitmen terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.

Menerusi kenyataan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Australia Richard Marles memaklumkan, berpandukan prinsip itu, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara anggota.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua menteri itu mengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN dalam pembinaan keselamatan serantau, termasuklah Kumpulan Kerja Pakar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM PLUS EWG).

"Mereka juga mengambil maklum kepentingan pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik, Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)," menurut kenyataan itu.

Iklan

Terdahulu, Marles yang juga Timbalan Perdana Menteri Australia mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama diiringi Mohamad dan kedua-dua menteri itu telah mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Peringkat Tinggi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP).

"Kedua-dua menteri telah memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia berasaskan sejarah, keyakinan dan saling menghormati yang diterjemahkan menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif.

Iklan

Sementara itu, Mohamad menyampaikan penghargaan beliau kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth dengan kedua-dua menteri mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan.

"Kedua-dua menteri mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth yang mana penugasan berterusan mereka telah meningkatkan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua menteri terbabit mengesahkan mengenai kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang ke arah keselamatan dan kestabilan serantau secara berterusan.

"Mereka berdua berkongsi pandangan yang sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera.

"Kedua-dua negara komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dan akan bekerjasama rapat dalam menangani cabaran keselamatan bersama demi kepentingan serantau,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu juga, kedua-dua menteri turut menekankan kepentingan untuk menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk kebebasan navigasi dan lintas udara.

"Kedua-dua menteri menyatakan komitmen terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 sebagai rangka kerja perundangan komprehensif untuk segala aktiviti maritim,” menurut kenyataan itu lagi. - Bernama