BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah bergaya ke pusingan ketiga dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada malam Rabu.
Mereka mengalahkan Julie Macpherson-Ciara Torrance dari Scotland menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-10 pada pusingan kedua dalam tempoh 33 minit permainan yang berlangsung di Royal Arena.
Pada set pertama Pearly-Thinaah diberi tentangan sengit oleh Macpherson-Torrance, namun gandingan nombor 11 dunia itu pantas membaiki permainan untuk meraih slot ke pusingan ketiga.
Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian edisi lalu apabila mara ke pusingan ketiga.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 16-21 kepada gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bakal membuat perhitungan dengan pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.
Dalam pada itu, skrip berbeza buat satu lagi beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang melakukan penampilan kedua pada edisi kali ini.
Mereka gagal mengiringi Pearly-Thinaah ke pusingan ketiga setelah kalah kepada wakil Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 13-21, 11-21.