MANUSIA sifatnya beradaptasi dengan persekitaran. Disebabkan kemampuan ini, kita mampu bertahan sejak dulu hingga kini daripada diancam kepupusan.
Apa pun yang berlaku kepada alam ini, manusia akan menyesuaikan diri dan mencari jalan terbaik keluar daripada sebarang ancaman dan muncul pemenang dalam setiap perlawanan meneruskan kehidupan.
Peperangan, kebuluran, bencana alam, wabak penyakit dan lain-lain yang berlaku sepanjang sejarah peradaban membunuh sekian banyak nyawa dan pada tahap tertentu mengancam survival kewujudan manusia, tetapi makhluk Tuhan ini masih tegak berdiri dan mentadbir alam ini dengan megah.
Satu idea dari teori evolusi yang berbunyi ‘pemilihan alami’ menjadi kata kunci kepada tesis ini, di mana makhluk yang mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran akan bertahan sebelum mewariskan ciri-ciri tersebut kepada generasinya di bawah untuk menyambung legasi, dengan lebih baik tentunya.
Dalam proses itu, makhluk tersebut berubah sekali gus mewujudkan populasi yang mempunyai kepelbagaian. Inilah yang mencorakkan alam yang kita huni dengan warna-warni untuk dinikmati keindahannya bersama-sama penghuni yang lain.
Bercakap hal fundamental begini jadi mustahak dalam berdepan cabaran lingkungan yang menuntut perubahan demi perubahan yang kadangkala drastik dan tidak terjangka.
Dalam dunia hari ini yang sedang melalui era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), dan pada ketika Malaysia menuju ke arah negara dengan sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus menjelang akhir tahun ini, untuk bertahan dengan cabaran lingkungan, kita perlu kembali kepada sifat semula jadi kita iaitu menyesuaikan diri.
Kepentingan mempunyai liputan rangkaian 5G sangat besar. Kelajuan memuat naik datanya seratus kali lebih baik daripada 4G.
Dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) yang berlaku setiap hari, persekitaran kita barangkali akan berubah lebih pantas daripada yang sempat kita cerap.
Ironinya, dalam keluasan saiz data yang mampu ditampung 5G, kita tetap perlu bersaing merebut tempat di ruang digital untuk diperhatikan bagi memastikan kekal relevan.
Ini persoalan besar. Ketinggalan dalam persaingan merebut ruang akan mengancam survival kita di dunia ini.
Dan jika kita tidak mampu beradaptasi, kita akan menerima nasib sama seperti dinosaur - pupus sama sekali, atau hanya hidup di alam fiksyen.