Ujian sebenar Harimau Malaya

Iklan

TIADA siapa dapat menyangkal peningkatan ketara dipamerkan Harimau Malaya sejak kebelakangan ini untuk meletakkan pasukan negara pada tahap cukup berbeza terutama dalam tempoh 17 tahun terakhir.

Kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan, selain mengambil contoh aksi positif dalam beberapa perlawanan persahabatan terakhir menewaskan Turkmenistan 1-0, Hong Kong (2-0), Kepulauan Solomon (4-1) dan membelasah Papua New Guinea (10-0) adalah penanda aras buat skuad negara melangkah lebih jauh.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu sudah pasti memberikan impak kepada ranking dunia menyaksikan Malaysia kini berada di kedudukan ke-136 dunia dan merupakan kedudukan terbaik sejak Mei 2006.

Ia juga kenaikan mendadak 18 anak tangga dari kedudukan ke-154 dunia hanya dalam tempoh setahun lapan bulan sejak pengendali pasukan kebangsaan Kim Pan-gon mengambil alih Harimau Malaya pada 21 Januari tahun lalu.

Iklan

Melihatkan kepada persembahan positif itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pan-gon sendiri mula berani meletakkan sasaran lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya berada di ranking ke-120 dunia menjelang hujung tahun ini selain sebagai persiapan rapi menjelang Piala Asia 2023.

Untuk mencapai misi tersebut, badan induk bola sepak negara sudah merangka beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan yang berada di ranking yang jauh lebih baik dan berkualiti berbanding mengambil pasukan yang mudah diratah seperti sebelum ini.

Iklan

Aksi berdepan China yang berada di ranking 80 dunia sebelum bertemu Syria (94 dunia) di Chendu pada bulan depan disifatkan sebagai permulaan ujian sebenar buat Harimau Malaya.

Kemudiannya, ujian itu diteruskan skuad kendalian Pan-gon dalam kejohanan Pestabola Merdeka di halaman sendiri membabitkan tiga pasukan iaitu Palestin (96 dunia), India (99 dunia) dan Tajikistan (110 dunia).

Malaysia turut akan mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Oman (73 dunia), Kyrgyzstan (97 dunia) dan pemenang perlawanan pusingan pertama sama ada Taiwan atau Timor Leste.

Harimau Malaya turut akan mendapat pengalaman berguna apabila bertemu pasukan berstatus ‘Piala Dunia’, Arab Saudi (ranking ke-54) dan Oman sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Ranking atau persiapan?

Umpama misi serampang dua mata, FAM meletakkan objektif utama untuk memperbaiki ranking dunia dan dalam masa sama menyiapkan pasukan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 serta Piala Asia 2023 pada perlawanan persahabatan dan kejohanan Pestabola Merdeka akan datang.

Untuk mendaki ranking, sifirnya cukup mudah, iaitu apabila Harimau Malaya berjaya raih keputusan positif menentang pasukan di ranking bawah 100 dunia, maka ranking pasukan kita juga akan naik mencanak.

Namun, melihatkan pasukan yang bakal ditentang bukan calang-calang lawan untuk ditewaskan apatah lagi pasukan negara jarang bertemu pasukan di ranking bawah 100 dunia dalam aksi persahabatan sebelum ini.

Tanpa menidakkan kemampuan skuad negara, persoalan mula timbul mampu kah kita menumbangkan pasukan yang lebih kuat kerana lawan sebelum ini agak lemah dan mudah menjadi 'santapan' Harimau Malaya.

Bagi sesetengah pemerhati bola sepak negara, mereka melihat ini ujian serta cabaran sebenar yang bakal ditempuh skuad kendali Pan-gon dan menyifatkan perancangan menentang pasukan kuat ini harus dimulakan lebih awal.

Ranking juga seharusnya bukan lagi keutamaan ketika ini, sebaliknya apa jua keputusan sama ada tewas atau menang memberikan gambaran sebenar skuad negara mampu atau tidak bersaing dengan pasukan yang lebih bagus.

Pan-gon sendiri sudah tentu mempunyai gambaran keseluruhan yang lebih baik mengenai kemampuan skuad negara apabila memilih untuk berdepan pasukan kuat.

Malah, beliau juga sudah memberikan peringatan awal serta meniupkan keyakinan untuk para pemainnya supaya tidak gentar berdepan lawan lebih kuat dan menuntut kejutan dilakar oleh pasukan negara.

Bagi penyokong, tidak mustahil untuk Harimau Malaya meraih kemenangan menentang pasukan di ranking bawah 100 dunia kerana tahap permainan pasukan sudah berbeza sekali gus akan menjadi persiapan berguna buat skuad negara mengharungi pusingan kelayakan dan kejohanan Piala Asia.