'Beri Azeem masa'

Iklan
Azeem (kiri) meraih pengalaman berguna beraksi dalam saingan Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest baru-baru ini. Foto Agensi.

JURULATIH pelari pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah menyambut baik sebarang pandangan berkaitan teknik larian anak didiknya, Muhammad Azeem Fahmi dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest baru-baru ini.

Ia susulan pesanan bekas pelari kebangsaan, Nazmizan Muhammad yang berharap Azeem menukar pendekatan memperlahankan rentak larian ketika menghampiri garisan penamat.

Iklan
Iklan

Nazmizan menganggap pendekatan yang diambil Azeem - pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) sesuatu yang kurang baik.

Amir berkata, barisan kejurulatihan amat menghargai pandangan itu yang mampu menjadi penambahbaikan buat Azeem.

Iklan

"Saya amat meraikan pendapat jurulatih lain demi kebaikan Azeem,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Amir menjelaskan teknik itu merupakan strategi yang bergantung kepada keperluan peringkat larian yang Azeem sertai, malah pendekatan sama dipraktiskan atlet bertaraf dunia.

Iklan

"Biasanya memperlahankan larian itu sebagai satu strategi bergantung kepada keperluan di peringkat mana larian. Ia memang biasa dilakukan atlet bertaraf dunia,” katanya.

Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah

Amir memberitahu, Azeem perlu mengharungi peringkat kelayakan kerana penyertaannya di Budapest adalah atas tiket wild card.

Justeru katanya, selepas melepasi peringkat itu, Azeem bersaing pula dalam pusingan pertama untuk meraih slot ke separuh akhir.

"Azeem sudah berlari dengan baik walaupun baru pulih daripada kecederaan. Malah dia perlu mendapatkan semula keyakinan diri untuk memperoleh rentak larian yang lebih baik,” ujar Amir.

Amir memberitahu, barisan kejurulatihan yang diketuai Ken Harden giat menganalisis teknik larian Azeem itu dalam usaha menambah baik strategi sebagai persiapan untuk mengharungi Sukan Asia Hangzhou di China September depan.

"Kami (barisan kejurulatihan), Azeem, coach Ken dan saya sedang menganalisis untuk mencari jawapan kepada soalan tersebut.

"Selepas membuat perbincangan kaedah latihan akan dipertingkatkan. Fokus kepada kekuatan mental dan fizikal sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia nanti,” katanya.

Amir juga berharap peminat dan penganalisis sukan memahami situasi yang dilalui oleh atlet berusia 19 tahun itu yang merupakan penuntut di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS).

Malah beliau berkata, apa yang dilalui oleh Azeem merupakan satu proses yang panjang memerlukan sokongan serta doa dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Percaya kepada proses dan untuk dapat kejayaan bukan dalam satu tempoh yang singkat. Mohon dapat beri ruang dan masa kepada Azeem untuk melihat dia mencapai catatan masa bawah 10 saat (s) seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Azeem bermotivasi tinggi dan memberikan yang terbaik bagi setiap pertandingan demi mengharumkan nama baik negara.

"Perlu diingatkan bahawa Azeem di AS adalah pelajar sambil berlatih. Pada saya kata kunci ialah konsisten,” ujar Amir.

Azeem yang beraksi atas tiket wild card gagal melangkah ke separuh akhir dalam penampilan sulungnya ketika Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary pada Ahad lalu.