MELIHAT pelumba berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom sering beraksi di trek semestinya setiap orang menggambarkan beliau seorang yang komited dan gigih dengan kariernya sebagai seorang atlet.
Namun siapa sangka, pelumba diberi julukan 'The Terminator Shah' itu mempunyai bakat terpendam iaitu bukan saja mahir bermain gitar, malah turut mempunyai lontaran suara yang sedap didengar halwa telinga.
Bak kata pepatah 'ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi', peribahasa itu sesuai ditujukan kepada Muhammad Shah yang menyifatkan dirinya mewarisi bakat bapa saudaranya, Rain yang merupakan seorang ahli kumpulan muzik Rajawali, sebuah kumpulan pemuzik terkenal pada era 90-an.
Atlet kelahiran Muar, Johor yang bakal beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022 September itu berkongsi, beliau turut mempunyai studio di rumahnya dan sering menjadikan aktiviti bermain gitar dan menyanyi untuk menghilangkan tekanan dan mengisi masa lapang.
"Selalu di rumah saya akan bermain gitar, rumah di kampung saya memang ada studio, saya selalu luangkan masa bersama ayah dan bapa saudara untuk jamming, selalu mainkan lagu rock.
"Saya mula main muzik sejak kecil dengan bapa saudara sebab dia memang pemuzik, ayah saya juga ada band masa muda-muda, mungkin darah ahli muzik mengalir di badan saya sebab itu saya minat," katanya.
Dalam pada itu, pelumba berusia 27 tahun itu berkata selain bermain gitar beliau akan sentiasa meluangkan masa mengayuh basikal yang dianggap sebagai terapi ketika sedih dan menghadapi sebarang tekanan.
"Luar daripada trek saya tetap akan kayuh basikal, gembira atau sedih saya akan luangkan masa untuk kayuh, sebab dengan berbasikal memang buat saya rasa lega, kadang-kadang saya akan ke tasik, sungai atau kedai kopi sendirian mengayuh basikal," katanya.
Mengenai persiapannya ke Sukan Asia, Muhammad Shah berkata ia berjalan lancar apabila beliau memanfaatkan kejohanan siri kebangsaan, Yayasan Sime Darby Track series (YSDTS) di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini sebagai medan persediaan ke temasya empat tahun sekali itu.
Muhammad Shah turut berkongsi beliau yang kini berdepan dengan masalah hilang keyakinan diri sejak mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan ketika beraksi dalam acara keirin Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023) Jun lepas.
"Saya nak dapatkan semula keyakinan, sebab bila berlumba terlalu padat saya takut ada pergeselan, sebab kat ACC saya kemalangan dan cuba nak elak perkara macam itu berlaku, jadi saya terlalu berhati-hati dan kurang agresif seperti sebelum ini," katanya.
Muhammad Shah bergelut dengan prestasi tidak menentu pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lepas apabila terkandas pada pusingan kelayakan acara pecut individu sebelum tersingkir di pusingan pertama repechage bagi acara keirin.
Untuk rekod, beliau meraih pingat perak di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dalam acara pecut berpasukan. - Bernama