TUMPAT - Seorang sarjan Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menzahirkan semangat patriotisme dengan menjelajah lapan negeri di Semenanjung sejauh 3,500 kilometer menggunakan skuter yang dihiasi Jalur Gemilang selama 10 hari bermula pada Khamis.
Misi kembara solo oleh Halim Hamid, 47, yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan di sebuah hospital di sini tersebut memasuki tahun kesembilan selepas memulakannya sejak 2013.
Halim berkata, antara pengisian dalam jelajahnya itu ialah akan melakukan ziarah kubur parajurit di Bukit Kepong bagi memperingati jasa para pejuang yang terkorban demi mempertahankan negara.
Katanya, sejarah Bukit Kepong yang dipelajari semasa zaman persekolahan dan dilihat melalui filem aksi patriotik Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin diterbitkan pada 1981, amat menyentuh hatinya sebagai rakyat Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi semangat cinta akan negara.
"Saya akan tiba di Muar, Johor pada Sabtu dan akan singgah selama 30 minit di kubur Bukit Kepong untuk mengadakan tahlil serta membacakan doa kepada arwah pejuang-pejuang.
"Dalam semua kembara saya sebelum ini pun, Bukit Kepong ialah lokasi yang wajib saya kunjungi sebelum meneruskan jelajah sehingga 2 September ini,” katanya ketika ditemui pada pelepasan Kembara Solo Merdeka 66 - Keliling Semenanjung Malaysia 2023 di Balai Polis Wakaf Bharu di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah.
Selain persediaan mental dan fizikal yang mencukupi, Halim memberitahu, tiada persediaan khusus dilakukannya selain menjaga pemakanan di samping berdoa agar tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanannya.
Halim berkata, perjalanan dengan menunggang skuter Modenas Elegant 150 itu akan merentasi negeri iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan kembali ke Kelantan selain diakui berdepan banyak risiko termasuk berdepan pembuli jalan raya, perompak serta kemalangan.
Bercerita mengenai pengalaman dan cabaran kembara solo pada beberapa kali sebelumnya, Halim berkata pelbagai suka duka dialaminya termasuk detik cemas ketika dikejar dua individu dipercayai ingin menyamun.
Menurutnya, bagi mengelak sebarang kejadian seumpamanya berulang, kembara solo itu hanya dilakukan pada siang hari sahaja dan sebaik menjelang lewat petang, dia akan mula mencari hotel untuk berehat sebelum memulakan kembali perjalanan keesokan harinya.
"Saya melakukan persediaan dengan menyelenggara motosikal kira-kira RM1,000 sebelum memulakan perjalanan.
"Saya menunggang bermula jam 8 pagi dan akan berhenti paling lewat pada jam 8 malam setiap hari untuk rehat serta tidur sebelum menyambung perjalanan pada keesokan hari,” katanya yang turut menerima banyak tajaan daripada pelbagai pihak termasuk petrol dari Petronas.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, banyak tempat bersejarah lain yang turut disenaraikannya untuk dilawati dan paling mengujakannya ialah bagi meraikan detik kemerdekaan di Ipoh, Perak pada malam 31 Ogos ini.