Usah ulang tukar kerajaan selang setahun - Raja Bahrin

Iklan
Pada Rabu, kerajaan Kedah turut mengumumkan akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti diperkenalkan kerajaan Persekutuan. Gambar kecil: Raja Bahrin

KUALA TERENGGANU - Keputusan empat negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan sama dengan kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai permulaan kepada budaya politik yang lebih matang.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ketetapan itu dilihat sebagai satu bentuk dimensi baharu terhadap kestabilan politik tanah air sekali gus memastikan tidak berulang lagi tindakan menukar kerajaan sebelum habis penggal.

Iklan
Iklan

"Kita harap era kerajaan bertukar selang setahun tidak berulang lagi kerana rakyat telah penat dengan politik serang-menyerang 24 jam tanpa ruang untuk muhasabah diri dan usaha membina negara bersama.

"Bukan hanya rakyat yang bosan dan penat, pihak istana juga menzahirkan pendapat yang sama serta mengharapkan kestabilan dan ketenteraman dalam negara," katanya dalam kenyataan di sini, malam Rabu.

Iklan

Ujar beliau, tumpuan kini perlu ke arah 'win-win' atau menang-menang, khidmat untuk rakyat dipertingkatkan dengan kerajaan dan pembangkang memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

"Kita harap dapat kembali ke era dan cara politik sihat dahulu di mana selepas pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) pihak kerajaan dan pembangkang tumpukan usaha untuk berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat sehinggalah PRU yang berikutnya," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak istana turut berduka sekiranya pertelingkahan politik dalam kalangan parti politik tidak berkesudahan.

"Raja-raja Melayu kita adalah payung negara untuk semua rakyat berteduh dan jika gelora politik senantiasa membawa ribut politik berterusan yang tidak bermusim, payung yang melindungi rakyat akan turut terkesan dan berdukacita kerana ribut senantiasa melanda.

"Bersabar dan tangguhlah cita-cita untuk berkuasa sebagai kerajaan kepada waktu pilihan raya berikutnya seperti di tetapkan perlembagaan. Gunakan tempoh yang ada untuk membina dan membaiki kekuatan dalaman politik masing-masing dan dalam masa yang sama membela nasib rakyat," katanya.

Isnin lalu, Kerajaan Terengganu menjelaskan akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini selari dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan bagi sambutan ulang tahun hari bersejarah yang akan diraikan di peringkat negeri itu telah diatur dan diteruskan seperti biasa.

Perkara sama turut diputuskan oleh kerajaan Kelantan, Kedah dan Perlis yang mengumumkan akan menggunakan logo dan tema sama seperti yang digunakan oleh kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hari Kebangsaan: Kedah guna tema, logo sama Persekutuan

Polemik logo, tema Hari Kebangsaan 2023 'childish' - KJ

Kontroversi logo, tema merdeka

Perlis turut guna logo, tema sama sambutan Hari Kebangsaan

Sambut merdeka sama-sama, tak perlu buat logo berbeza