KONTIJEN Selangor memulakan persediaan awal dengan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak pada tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor juga akan melipat gandakan usaha bagi merealisasi sasaran menjuarai temasya sukan itu.
"Kita sasarkan untuk menjadi juara SUKMA yang akan dianjurkan di Sarawak pada tahun hadapan dan kali terakhir kita menjadi juara SUKMA juga di Sarawak iaitu pada tahun 2016.
"Ini antara tumpuan kita dan saya telah mendapat sedikit taklimat daripada Pengarah Eksekutif MSN, (Mohamad Nizam Marjugi) berkaitan persiapan kontijen Selangor untuk menghadapi temasya sukan tersebut.
"Insya-ALLAH kita akan terus memantau dan menambah baik persediaan dan persiapan kita dalam usaha untuk kita memburu kejuaraan di Sarawak pada tahun hadapan," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Tugas Portfolio Belia dan Sukan antara Najwan dan bekas Exco, Mohd Khairuddin Othman di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7 di sini pada Khamis.
Mengenai potfolio yang baharu disandangnya, Najwan berkata, beliau akan meneroka potensi-potensi baharu yang boleh diterapkan dalam pengurusan portfolio belia dan sukan di negeri Selangor ini.
"Kita sedia maklum teras asas portfolio ini adalah sukan dan juga pembangunan belia dan pada masa ini cabarannya agak berbeza kerana apabila kita sebut sahaja belia ia tidak semestinya dikaitkan dengan sukan sahaja.
"Ini kerana, belia merangkumi banyak aspek seperti kerjaya, pendidikan dan ekonomi serta ini antara yang kita akan teroka bersama-sama barisan MSN Selangor dan kerajaan negeri.
"Insya-ALLAH beri sedikit masa dan kita akan melihat beberapa keperluan dalam sedikit masa lagi," tambahnya.