KAJANG - Lembaga Zakat Selangor menyumbang alat bantuan pernafasan Bilevel Positive Airway Pressure (BIPAP) bernilai RM29, 500 kepada bayi, Sufi Syafrina Mohd Shafiq, 7 bulan yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1.
Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan beban keluarga berkenaan yang sebelum ini menyewa peralatan itu RM500 sebulan.
Menurutnya, selain bantuan peralatan, LZS juga dalam penilaian untuk menyalurkan bantuan lain termasuk ubat-ubatan jenis Evrysdi (Risdiplam) yang menelan kos RM40,000 sebulan.
"Kami akan berbincang dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur bagi tujuan itu dan sedang dalam penilaian untuk memberikan bantuan secara bulanan.
"Bantuan ini dikategorikan sebagai asnaf gharimin membabitkan bantuan ubat-ubatan dan peralatan," katanya pada sesi ziarah dan menyampaikan sumbangan mesin BIPAP di kediaman keluarga itu di Jalan Sungai Kantan di sini pada Khamis.
Penyampaian sumbangan itu turut dihadiri oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.
Sinar Harian telah mengambil inisiatif membuka Tabung Bantuan Sufi Syafrina menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276-529068 bagi mengumpul dana untuk membantu Sufi Syafrina yang memerlukan suntikan jenis Zolgensma menelan kos RM9 juta untuk pulih.
Md Yusmizan pada sama berharap orang ramai turut sama membantu menyalurkan sumbangan bagi mencukupkan dana RM9 juta untuk membolehkan bayi tersebut menerima rawatan susulan.
Sementara itu, bapa Sufi Syafrina, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat yang telah membantu meringankan beban kewangan mereka sekeluarga.
"Duit pembayar zakat membolehkan kami mendapat manfaat melalui perantara LZS.
"Semoga ALLAH SWT melimpahkan rezeki kepada pembayar zakat. Terima kasih kepada LZS yang membantu meringankan beban saya bagi menampung kos alat bantuan pernafasan anak saya," katanya.
Berkongsi lanjut, beliau berkata, kutipan dana terkumpul setakat ini mencecah RM160,000 yang membantu menampung kos perubatan bulanan sementara menerima rawatan susulan.
"Mengikut penerangan doktor, rawatan perlu dilakukan sebelum usianya dua tahun.
"Selain suntikan Zolgensma, doktor turut mencadangkan pilihan suntikan ubat Spinraza yang kosnya lebih murah dianggarkan RM2 juta.
"Kami berpandukan kepada kedudukan kewangan, jika dana RM2 juta terkumpul jadi kami akan segerakan untuk guna ubat Spinraza," katanya.
Besar harapan Mohd Shafiq untuk melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu kembali pulih dan berharap rakyat Malaysia, kerajaan serta syarikat swasta dapat sama membantu bagi menyelamatkan nyawa.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tabung bantu Sufi Syafrina dilancar
Keadaan Sufi Syafrina belum pulih sepenuhnya
Tabung Sufi Syafrina: Beri harapan baharu untuk keluarga
RM1 amat bermakna buat Sufi Syafrina
Sufi Syafrina perlukan ihsan orang ramai
Menginjak usia tujuh bulan, keadaan Sufi Syafrina merosot