PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik idea Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil ke arah 'Pengalaman di Wembley' yang mampu mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Perkara itu dicapai selepas perbincangan antara kedua-dua pihak di Wisma FAM, Kelana Jaya yang turut dihadiri Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, manakala PSM diwakili pengerusinya, Tan Sri Tony Fernandes dengan diiringi ahli lembaga pengarah PSM, Radzi Tajuddin.
Iklan
Iklan
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perbincangan antara kedua-dua pihak itu juga tertumpu kepada dasar bersepadu berhubung keselamatan dan penjualan tiket, peningkatan perkhidmatan pelanggan korporat dan pengalaman menonton yang selesa untuk penyokong.
"Idea Fernandes untuk menjadikan stadium berkapasiti 85,000 tempat duduk ke arah 'Pengalaman di Wembley' itu mampu mendatangkan manfaat kepada kedua-kedua pihak. Kami menyokong sepenuhnya cadangan PSM untuk menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua.
"Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai klien, FAM gembira dapat bekerjasama dengan PSM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Fernandes turut berbesar hati dengan peluang berkongsi idea bersama Hamidin dan FAM.
"Kami gembira bertemu dengan Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini," katanya. - Bernama