KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah kilang memproses kertas cedera dalam kebakaran melibatkan dua kilang di Kepong di sini pada Khamis.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, lelaki berusia 45 tahun itu melecur 10 peratus di kedua-dua pergelangan tangan akibat kebakaran tersebut.
"Mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.
Rozihan Anwar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 10.13 pagi.
"Seramai 50 anggota dan pegawai bomba bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak Selatan, BBP Sri Hartamas, BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah dan BBP Selayang ke lokasi," katanya.
Beliau berkata, kilang alat ganti motosikal musnah 100 peratus, manakala kilang memproses kertas musnah 20 peratus.
"Api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan kilang bersebelahan pada jam 12.36 tengah hari dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.