SHAH ALAM - Kerajaan dijangka menerima tekanan lebih besar daripada pihak pembangkang sepanjang pentadbiran sekiranya tiada kerjasama lebih terbuka antara kedua-dua blok ke arah perubahan bersifat kenegaraan yang lebih baik demi keharmonian segenap lapisan masyarakat.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, dalam hal itu sebarang bentuk perjanjian tidak diperlukan, sebaliknya tekad dan kesediaan kerajaan dan pembangkang menghentikan sengketa politik jauh lebih utama demi menstabilkan tekanan yang mungkin dihadapi kelak.
Menurutnya, pada masa sama pembangkang juga harus lebih terbuka dengan diplomasi politik melalui tokoh kepimpinan kenegerian yang memfokuskan elemen kenegaraan dan kebersamaan.
"Pandangan saya, kerajaan tidak memerlukan elemen perjanjian dengan pembangkang kerana bagi saya ia harus bersifat terbuka, malahan kerajaan negeri pembangkang juga harus bersiap sedia bekerjasama dengan kerajaan dan lupakan sengketa politik yang berterusan.
"Masyarakat bosan dan muak dengan sengketa politik serta mahukan pembaharuan daripada segi pelaksanaan ekonomi bersifat kenegaraan bukan kenegerian...jadi sentimen kenegerian ini perlu dikurangkan dan dihentikan demi bersama-sama sebagai sebuah negara merdeka dalam bulan kemerdekaan.
"Antara perkara yang perlu dilakukan adalah memastikan pemimpin-pemimpin negeri dan kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan baik.
Pemimpin negeri terus diberikan satu bentuk kerjasama atau peluang untuk kerjasama dengan membawa kepada perubahan yang baik," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendekatan wajar dilaksanakan kerajaan berikutan Perikatan Nasional (PN) kini disifatkan sebagai pembangkang yang kuat.
Mengulas lanjut, Nirwandy berkata, penting untuk rakyat memahami dasar berkepentingan kerajaan secara lebih mikro khususnya berhubung kepentingan sosio ekonomi agar tidak terperangkap dengan permainan persepsi oleh pembangkang.
Katanya, kerajaan perlu memastikan elemen perang saraf dan pelaksanaan perkara-perkara berkepentingan sosio ekonomi yang telah dirancang untuk masyarakat berjalan dengan baik dan difahami.
"Apa yang tidak mahu diwujudkan adalah permainan persepsi yang boleh merugikan negara secara keseluruhan kerana apabila kerajaan terperangkap dengan permainan persepsi, propaganda-propaganda yang berkepentingan politik, maka tidak akan membantu untuk memberikan satu impak penyelesaian yang baik kepada isu-isu yang ingin difahami masyarakat.
"Masyarakat juga perlu didekatkan dengan semangat patriotisme iaitu memupuk semangat kenegaraan yang kuat bagi menyatupadukan kepelbagaian kaum kerana sentimen kenegerian, juga sedikit elemen-elemen politik yang agak keras dan keterlaluan boleh mewujudkan perbezaan pendapatan dan sentimen kenegeraan yang tidak baik dalam konteks masyarakat harmoni," katanya.