KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan bagi pihak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon supaya Peguam Negara mempercepatkan keputusan representasi bagi mengkaji 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.
Menerusi kenyataan media oleh tiga peguam, Datuk Hisham Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, mereka telah menghantar representasi bagi pihak Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini, pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari lalu.
Menurutnya, keputusan itu perlu disegerakan sebelum pihaknya memanggil lebih ramai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes berkenaan.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memprejudiskan hak Ahmad Zahid, dalam melaksanakan haknya dengan mengemukakan representasi itu.
"Mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan fakta representasi untuk kepentingan politik atau menakutkan orang ramai dengan memberi sangkaan buruk terhadap perkara berkenaan,” kata kenyataan itu.
Barisan peguam ini berkata, amat tidak adil sekiranya ada pihak cuba campur tangan dan mempolitikkan isu ini.
Sedangkan pembelaan berkata, pemohonan representasi kepada Peguam Negara merupakan perkara biasa.
Katanya, ia termasuk jika tertuduh merasakan wujud salah guna kuasa terhadap pendakwaan, isu siasatan dan keterangan saksi.
Pada prosiding April lalu, pendakwaan mengesahkan telah memperoleh representasi berkenaan dan menyatakan mereka memerlukan masa kerana permohonan itu turut dikepilkan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari.
Ia menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan oleh pembelaan.
Mengenai representasi terbabit, pembelaan berkata, antara isu diketengahkan termasuklah isu di dalam perbicaraan sebelum ini dan keterangan baharu yang diperoleh ketika pihak kami membuat persiapan sebelum dan ketika sesi pembelaan bermula.
Ia berkata, oleh kerana isu yang diketengahkan masih dikaji oleh pihak siasatan dan pendakwaan, maka pihak mereka tidak boleh memberi butiran yang lebih spesifik terhadap isi kandungannya.
Bagaimanapun pembelaan berkata, secara amnya isu yang diketengahkan adalah terdapat pendakwaan bersifat politik di dalam kes itu oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas dan pelantikan peguam negara oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menuduh Ahmad Zahid.
Pembelaan berkata, ia turut membabitkan isu mengenai tuduhan itu dibuat kerana keengganan anak guamnya membubarkan UMNO dan kecacatan siasatan dalam tempoh singkat (4 bulan sahaja dari tarikh siasatan bermula) akibat dari kegopohan untuk menuduhnya.
Kata pembelaan, terdapat keterangan-keterangan yang kukuh bagi pihaknya mengemukakan representasi terbabit.