PUTRAJAYA - Kerajaan Selangor berjaya memperoleh perintah penggantungan perlaksanaan cadangan pembinaan Selangor Turf Club (STC) termasuklah bagi membina Pusat Sukan Ekuesterian (ESC) yang melibatkan judi lumba kuda antara terbesar di Asia, di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Zaleha Yusof.
Turut bersidang Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Lau Bee Lan.
Kerajaan Negeri diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Arif ketika dihubungi Sinar Harian berkata, penggantungan itu dibenarkan mahkamah setelah membuat pertimbangan terhadap hujahan Kerajaan Selangor selaku pemohon terhadap keperluan memelihara integriti rayuan dan kepentingan awam sementara rayuan diputuskan.
"Dalam prosiding kami berhujah bahawa penggantungan diperlukan dengan mengambil kira terdapat pelbagai bantahan dari penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui petisyen serta memorandum," katanya.
Selain itu katanya, dana awam dan Perbendaharaan Negeri akan terjejas teruk sekiranya tuntutan gantirugi RM 2.1 billion dibenarkan oleh mahkamah tinggi.
Pada prosiding itu, responden, Berjaya Land Berhad Berjaya City Sdn Bhd dan Selat Makmur Sdn Bhd diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk CK Lim.
Pada 9 November 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan semakan kehakiman Berjaya Land Berhad untuk meneruskan dengan cadangan pembangunan STC termasuklah bagi membina ESC dengan keluasan 300 ekar di Bukit Tagar.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan agar gantirugi yang dialami oleh Berjaya dan dua pihak lagi ditaksirkan.
Mereka kemudiannya telah menuntut RM 2,108,834,159.57 sebagai gantirugi daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Pengarah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah memfailkan rayuan mereka.
Kes akan didengari pada 24 Oktober depan.
Sebelum ini, media melaporkan cadangan pembinaan tersebut mendapat tentangan penduduk setempat termasuk NGO.
Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) antara yang membantah dengan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, pada 4 Julai 2014 selain turut menghantar memorandum bantahan.