PELAKON dan pengarah, Ellie Suriaty tidak berpuas hati dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab membuat akaun TikTok menggunakan nama dan gambarnya.
Lebih membuatkan Ellie kesal apabila individu terbabit membuat video yang mengundang fitnah dan salah faham berkaitan dirinya.
"Saya tak suka dia (individu terbabit) guna footage video lama saya dengan Azri, tulis ayat saya kesal dengan penceraian dan nak patah balik.
"Kami sudah ada kehidupan masing-masing dan teruskan kehidupan yang positif, jangan cakap bagi pihak saya," katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi.
Tambah bintang berusia 53 tahun itu, dia akan membuat laporan polis sekiranya individu berkenaan tidak memadam akaun palsu di TikTok.
"Saya sudah alert perkara ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan rakan baik saya, Anne Abdullah sudah laporkan akaun ini pada TikTok sebab saya memang tak ada TikTok.
"Sebenarnya selepas saya tidak aktif politik, saya juga tidak aktif di Facebook dan tidak ada juga akaun Twitter (X). Saya hanya ada akaun Instagram," jelasnya.
Justeru, Ellie meminta mana-mana peminat yang mengikuti akaun itu agar melaporkan pada TikTok dan tidak lagi mengikutinya.
"Buat masa ini saya tidak ada keperluan untuk buka akaun TikTok. Tengoklah macam mana selepas ini.
"Akaun yang ada sekarang bukan akaun saya. Jadi tolong unfollow," katanya.
Ellie atau nama sebenar, Ellie Suriaty Omar sebelum ini mendedahkan menerusi akaun Instagramnya meminta pengikutnya tidak terpedaya dengan kewujudan beberapa akaun TikTok palsu yang menyamar menggunakan nama dan gambarnya di media sosial.