Hukuman mati bekas tentera diganti dengan penjara 40 tahun

Iklan
Mahkamah menolak rayuan Zarmayade dan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan terbabit. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis menggantikan hukuman mati seorang bekas tentera dengan penjara 40 tahun bagi kesalahan membunuh seorang wanita warga emas dalam satu insiden samun pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah turut memerintahkan Zarmayade Abdullah, 46, disebat sebanyak 12 kali.

Iklan
Iklan

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hadhariah berkata, mahkamah menolak rayuan Zarmayade dan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, panel itu mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi ke atas Zarmayade oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun.

Iklan

Mahkamah kemudian mengarahkan Zarmayade menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 April 2017.

Dia didapati bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan antara 11 pagi dan 3 petang pada 12 April 2017.

Iklan

Bekas guru itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya yang pulang ke rumah mereka pada sebelah petang.

Pada 22 Disember 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan Zarmayade bersalah dan menjatuhi hukuman mati.

Ini menyebabkan tertuduh membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Ahmad Nizam Mohamed, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin dan Muhamad Hanis Mohamed Shariff mewakili Zarmayade manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang. - Bernama