KLANG - Rumah Ngaji Selangor memberi sokongan penuh terhadap program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 30 Ogos bermula pada jam 12 hingga 1 tengah hari.
Wakil Rumah Ngaji @Abata, Teluk Panglima Garang, Aznita Abu Bakar berkata, program tersebut dapat menyatukan ummah dan perlu diteruskan dan dilaksanakan secara berterusan.
"Kami bersetuju dan ia bagus untuk diteruskan dan penganjuran pada sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini dapat memberikan impak yang besar kepada umat dan kami amat menyokongnya," katanya.
Sementara Wakil Rumah Ngaji @Mawaddah Klang, Rabeah Ashaari pula berkata, program itu dapat dijadikan sebagai satu platform untuk mengajak orang ramai mengaji bersama-sama.
"Saya kini tidak terlibat secara langsung (dengan program itu) namun menyokong program kali ini kerana ia dapat menggalakkan orang ramai untuk mengaji bersama," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, wakil Rumah Ngaji @Taska Permata Nurqaseh, Klang, Noorfaezah Ismail berkata, pihaknya tiada masalah untuk terlibat sama dalam program dijadualkan pada 30 Ogos ini.
"Pihak kami akan mendapatkan seberapa ramai peserta kerana program tersebut berlangsung pada hari bekerja dan kami akan memberikan sokongan penuh terhadap program kali ini," katanya.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour yang ke sembilan pada kali ini dengan bertemakan"Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar”.
Program ini diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.
Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos atau menganjurkan di lokasi masing-masing.