'Di Johor cakap Sanusi tidak laku' - Nur Jazlan

Iklan
Nur Jazlan

JOHOR BAHRU - UMNO menyifatkan dakwaan gelombang Perikatan Nasional (PN) bakal melanda negeri ini susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hanya cakap kosong.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak mempunyai kekuatan di Johor.

Iklan
Iklan

Jelasnya, jika ada pun kekuatan PN di Johor hanya terletak di Pagoh yang dipegang wakil Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parlimen Mersing.

"Jangan keliru dengan pilihan raya negeri (PRN) enam negeri terutama di bahagian utara negara dengan kawasan selatan. Itu cakap PN, mengenai gelombang.

Iklan

"Di Johor cakap Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) tidak laku. Orang Johor ini sederhana dan tidak ekstrem dengan isu agama dan kaum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan calon PH bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu di sini, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, tiga Naib Presiden Amanah, Adly Zahari, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Mujahid Yusof serta Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Turut hadir, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng dan Timbalan Pengerusi PKR, Jimmy Puah Wee Tse.

Sabtu lalu, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat diumum sebagai calon di Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, diletakkan sebagai calon kerusi DUN Simpang Jeram.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara turut yakin undi majoriti gabungan PH-BN pada PRK Pulai akan meningkat.

"Pada PRU15, November tahun lalu, saya dapat 31,726, manakala Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperoleh 64,900 undi. Sementara calon PN ketika itu meraih 20,667 undi.

"Jika undi saya dicampur dengan undi Salahuddin, maka jumlahnya lebih 96,000 undi. Oleh itu, faktanya, PN perlu dapatkan undi lebih banyak untuk menang," ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, jentera UMNO akan digerakkan membantu kempen terutama di kawasan pengundi Melayu di Tampoi dan Kempas.

"UMNO Bahagian Pulai mempunyai 18,000 ahli. Jentera UMNO akan bersama PH bergerak berkempen dan mendekati pengundi di Parlimen Pulai yang terdiri daripada dua kawasan DUN Kempas dan Perling," katanya.