Piala AFC: Nasib berbeza Terengganu, Sabah

Iklan
Keputusan undian Piala AFC yang berlangsung di Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Agensi

SITUASI berbeza buat dua wakil Malaysia dalam saingan Piala AFC 2023 selepas majlis undian berlangsung di Rumah AFC, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Atas kertas, Terengganu FC (TFC) yang muncul naib juara Liga Super musim lalu diundi dalam kumpulan sukar apabila perlu menentang juara Liga Australia 2022, Central Coast Mariners dalam Kumpulan G.

Iklan
Iklan

Selain bakal berdepan Central Coast Mariners, TFC turut diundi menentang juara Liga 1 Indonesia 2021/2022, Bali United dan juara Divisyen 1 Filipina 2013, Stallion Laguna FC.

Pengurus TFC, Fadhil Wahab menganggap saingan kumpulan tersebut sebagai sengit sambil mengesahkan Tomislav Steinbruckner akan terus menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan.

Iklan

"Satu cabaran yang sengit untuk kami hadapi pada kali ini.

"Walaupun mereka dibarisi pemain kebangsaan, tetapi saya yakin kemampuan TFC mampu menyaingi setiap pasukan termasuk pasukan dari Australia," ujar Fadhil.

Iklan

Steinbrukner ketika ini masih bercuti bersama keluarganya di Croatia dan tidak dapat bersama pasukan dalam saingan Liga Super menentang Kuching City Sabtu ini.

"Kami masih ada empat lagi perlawanan Liga Super dan berasakan liga tahun ini satu perjalanan yang cukup jauh.

"Tetapi dengan semangat dan komitmen dalam kalangan pemain serta prestasi yang cukup baik ketika ini, ini satu momentum yang baik untuk Terengganu.

"Kami cukup yakin bahawa kali ini mampu menunjukkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dan ini merupakan peluang terbaik Terengganu," kata Fadhil.

Sementara itu, Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee, dilihat melalui perjalanan yang agak mudah dalam saingan Kumpulan H.

Skuad The Rhinos itu diundi untuk bersaing dengan naib juara Liga Vietnam musim lalu, Haiphong FC dan juara Piala Singapura 2022, Hougang United.

Turut berada dalam kumpulan tersebut ialah finalis Piala AFC Zon ASEAN musim lalu, PSM Makassar yang tewas kepada Kuala Lumpur City FC di pentas final edisi lepas.

Kim Swee boleh menarik nafas lega dengan undian tersebut yang disifatkan sebagai seimbang.

"Biarpun berada dalam kumpulan yang seimbang tapi aksi di peringkat Asia berbeza dengan apa yang kami lalui dalam saingan Liga Super.

"Kami perlu berada pada tahap optimum untuk meraih tempat terbaik, bukan sahaja di laman sendiri, malah di tempat lawan.

"Vietnam mempunyai liga yang cukup baik, pasukan kebangsaan mereka juga lebih baik daripada kita.

"Tetapi kami mempunyai import yang boleh beraksi dengan cemerlang," ujar Kim Swee.

Piala AFC dijadualkan bermula 20 September ini dan juara setiap tiga kumpulan dari Zon ASEAN dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir Zon ASEAN.