Naik taraf Jalan Raya Timur-Barat jamin keselamatan pengguna

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat pad Khamis. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Pengguna Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan meluahkan rasa lega atas keprihatinan kerajaan menambah peruntukan bagi menaik taraf jalan raya itu, yang selama ini disifatkan laluan tidak begitu selamat kerana sudah"uzur” dengan permukaan jalan yang berlubang-lubang di beberapa tempat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengumumkan, peruntukan tambahan RM30 juta bagi menaik taraf jalan raya itu.

Iklan
Iklan

Peruntukan itu merupakan tambahan kepada penyelenggaraan jalan itu yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

Di Terengganu, seorang pengguna yang sering menggunakan laluan JRTB dari Terengganu ke Kedah, Siti Azizah Ahmad, 41, berkata dengan peruntukan besar untuk menaik taraf laluan itu, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada pemandu, malah keselamatan mereka akan lebih terjamin.

Iklan

Penjawat awam itu berkata, struktur jalan yang selama ini sangat"uzur” memungkinkan kemalangan berlaku, kerana boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan apabila tayar termasuk dalam lubang yang dalam dan agak besar.

"Keprihatinan kerajaan ini memberikan kelegaan buat pengguna JRTB, yang selama ini seolah-olah ‘mempertaruh’ keselamatan diri setiap kali menggunakan laluan berkenaan,” katanya yang berulang alik dari Kuala Terengganu ke Jitra, Kedah setiap bulan.

Iklan

Seorang lagi penjawat awam Nurnatasya Jamaludin, 31, berkata beliau akhirnya terpaksa menukar kereta baharu kerana kereta kompak yang dimilikinya sebelum ini sering rosak, setelah setahun berulang-alik dari Kedah ke Terengganu menggunakan laluan itu.

"Tayar kenderaan saya juga perlu selalu diganti kerana tayarnya yang kecil mudah rosak atau ‘cepat botak’ kerana struktur jalan di situ yang berlubang-lubang,” katanya menambah langkah menaik taraf jalan itu juga dapat menjamin keselamatan pengguna.

Di Perak, seorang peniaga rumah bot di Pulau Banding, Abdul Wahid Ali Othman, 58, berkata, dia terpaksa melakukan penjajaran roda keretanya beberapa kali sebulan akibat keadaan jalan yang rosak dan berlopak.

Isterinya Norazizan Sharif, 46, yang berulang alik sebanyak tiga kali sehari sejauh 45 kilometer dari rumah ke lokasi perniagaannya pula berkata, lampu jalan di sepanjang laluan tersebut juga perlu ditambah kerana laluan berkenaan sangat gelap terutama di waktu malam.

Seorang lagi pengguna Rahmah Zainal, 54, berkata pemantul cahaya dan papan tanda amaran perlu ditambah bagi mengelak risiko kemalangan, terutama di kawasan selekoh.

Di Kelantan, Pengarah Urusan Izani Transport, Izani Zakaria berkata, sebagai pemilik bas persiaran dan bas sekolah yang kerap menggunakan laluan itu, berita yang diumumkan Perdana Menteri itu sangat dinanti-nantikan.

"Sebagai usahawan pengangkutan awam, jalan ini seharusnya sudah lama dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah.

Bagi Shaidi Yusoff, 55, dari Kampung Gemang, Jeli berkata, pembangunan infrastruktur terutamanya jalan raya penting kepada daerah itu yang ketika ini sedang rancak membangun.

"Jeli merupakan pintu keluar masuk bagi laluan ke utara tanah air malah kedudukan daerah ini yang bersempadan dengan Thailand juga memerlukan jaringan jalan raya yang baik. Jalan sedia ada banyak yang dah berlubang, keadaan sangat teruk.

Tindakan pantas perlu kerana Jeli kini turut menjadi tumpuan ramai kerana terdapat institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Jeli yang menyaksikan semakin ramai pengguna menggunakan JRTB," katanya. - Bernama