KUALA LUMPUR - Tiada sesiapa boleh menggunakan keputusan pilihan raya lepas hanya untuk memporak-perandakan UMNO.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, agenda perjuangan UMNO kini perlu kekal diteruskan dan diberi tumpuan ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kita akan memikirkan kaedah baharu, langkah baharu. Kita akan 'post-mortem', gerak kerja Wanita tidak dinafikan antara yang terkuat dan terhebat.
"Tetapi perang baharu memerlukan kaedah berbeza, kalau katakan perlu serangan udara, ia bukan murah. Kita mesti mencari jalan supaya apa jua keadaan sekali pun kita akan menggunakan yang terbaik.
"Mari kita cekalkan hati kita, tiada siapa boleh menggunakan keputusan yang lepas hanya untuk memporak-perandakan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden - Mempertahankan Institusi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.
Ahmad Shabery berkata, UMNO kini berdepan dengan banyak serangan dilontarkan oleh musuh terutama terhadap Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Tidak ada jaminan sesiapa pun selepas Ahmad Zahid yang duduk diam dan tidak akan menjadi sasaran musuh kita.
"Kita melalui satu proses yang begitu hebat sejak tahun 2018, kita kehilangan kerusi dan pada waktu itu kita kenal siapa kawan dan lawan. Saya percaya inilah antara yang paling kental mesti kita hargai bahawa perjuangan ini mesti diteruskan.
"Pilihan raya negeri (PRN) biar PRN, yang mesti kita kejar sekarang ini PRU16," katanya.