Ciri keselamatan laman web INSAN sedang diperkukuh - MBI

Iklan
Laman sesawang INSAN tidak dapat diakses pada Khamis.

SHAH ALAM - Laman web Program Insurans Am Selangor (INSAN) sedang diperkukuhkan dengan ciri keselamatan tambahan selepas terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan sistem itu untuk tujuan berniat jahat.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) dalam satu kenyataan berkata, dakwaan terdapat elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor bagi pendaftaran INSAN adalah tidak tepat.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan proses prapendaftaran secara automatik dengan memadankan maklumat daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan nombor kad pengenalan rakyat Selangor susulan menerima aduan kekangan mendaftar skim itu terutamanya daripada warga emas.

Iklan

Menurutnya, walaupun prapendaftaran automatik ini menyediakan polisi kepada rakyat dan penduduk Selangor namun setiap penerima polisi perlu menyempurnakan proses pengesahan diri dan bersetuju menerima tawaran perlindungan tersebut.

"Jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian atau pun kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan.

Iklan

"Tidak berlaku kebocoran data kerana data program INSAN dilindungi oleh kerajaan Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi INSAN didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.

Isu tersebut tersebar di media sosial telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi.

Ujar kenyataan itu, rakyat Selangor yang berumur 30 hari sehingga 80 tahun layak dilindungi di bawah INSAN.

Katanya, terdapat dua jenis skim INSAN iaitu konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad dan bagi takaful pula disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad.

"Inisiatif ini merupakan kesinambungan dengan dasar dan aspirasi kerajaan negeri menjadikan Selangor sebagai negeri prihatin dan penyayang ke atas kebajikan rakyat.

"Skim INSAN Konvensional menawarkan perlindungan insurans RM10,000 untuk kes kematian dan kes hilang upaya kekal akibat kemalangan dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian.

"Sementara Skim INSAN Takaful menawar perlindungan takaful di antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi kes kematian atau kes hilang upaya kekal akibat kemalangan, dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian serta tambahan faedah RM50 sehari sehingga 30 hari untuk kemasukan wad," jelasnya.

MBI Selangor memaklumkan, sehingga Julai 2023, sejumlah 44 kes tuntutan telah diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537 ribu yang meliputi kes kematian dan kecacatan kekal.

INSAN merupakan inisiatif kerajaan negeri yang bermula 1 Oktober 2022 untuk memberi perlindungan insurans am kepada 6 juta rakyat Selangor.

MBI Selangor dilantik sebagai agensi pelaksana dan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan.

Program INSAN adalah salah satu daripada inisiatif dan komitmen daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan beban kewangan rakyat Selangor dalam masa-masa sukar apabila berlakunya kemalangan atau kematian selaras dengan laporan peningkatanjumlah kemalangan jalan raya di Malaysia daripada 370,286 pada 2021 kepada 545,588 pada 2022.