IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan terus mencari jalan memastikan harga barangan keperluan harian di negara ini tidak membebankan sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya adalah dengan meningkatkan hasil pengeluaran sedia ada menerusi syarikat-syarikat perladangan seperti Sime Darby, Guthrie dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).Menurutnya, langkah itu perlu digerakkan bagi mengelak kebergantungan secara terus menerus kepada keperluan barangan makanan import.
"Syarikat besar kena fikir bab ini kerana kita import makanan terlalu banyak sedangkan Malasyia ini tanah subur.
"Saya dah arahkan syarikat ini bawa keluaran hasil yang lebih besar untuk keluaran dalam negara kerana dengan cara itu kita boleh rendahkan sedikit kos, kalau import harganya tentulah lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jualan Rahmah Mega@Tambun di pekarangan Mydin Manjoi dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan, langkah proaktif yang akan terus dilaksanakan walaupun terdapat banyak kecaman yang mempertikaikan usaha dilakukan kerajaan.
Menurutnya, meskipun pada ketika ini isu kenaikan harga barang merupakan masalah dihadapi seluruh dunai, namun kerajaan tetap perlu mencuba menyelesaikannya sebaik mungkin.
"Saya jelaskan perkara ini (usaha turunkan harga) bukan mudah, tetapi bagi pihak kerajaan mesti cari jalan lagi, kita tidak boleh lepas tangan.
"Contoh paling baik macam kerja (Allahyarham) Datuk Seri Salahuddin Ayub, seluruh hidup menjadi menteri (KPDN), asyik fikir macam mana nak runding dengan syarikat, kedai-kedai dan pengeluar untuk kurangkan harga," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu mengakui, kerajaan tidak mampu untuk mengawal sepenuhnya kenaikan harga barang terutama melibatkan barang import.
Beliau memberi contoh pengeksport bawang terbesar dunia, India yang mengenakan 40 peratus duti eksport ke atas bawang.
"Keperluan bawang merah dan bawang putih, memang kita import dari India, kalau kita nak tanam (sendiri), ambil masa sikit sebelum ada hasil.
"Bila berlaku kenaikan cukai itu, bermakna ada hal yang kita boleh kawal, ada yang susah nak kawal (harga barang)," katanya.
Antara langkah telah diperkenalkan kerajaan dalam mengawal harga barangan keperluan di negara ini termasuklah pasar tani, aplikasi mobil PriceCatcher dan jualan Rahmah.
Jualan Rahmah Mega@Tambun yang bermula 8.30 pagi telah merekodkan jualan sebanyak RM270,000 melibatkan 36 jenis barangan dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung setakat jam 4.30 petang.