SEBUAH pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan kru terhempas di Bandar Elmina telah menggemparkan negara.
Tiada siapa yang menyangka, penerbangan yang dijadualkan tiba kurang daripada tiga minit di Lapangan Terbang Subang itu berakhir dengan tragedi apabila pesawat itu tiba-tiba menjunam.
Lebih memilukan apabila proses menyiasat punca terhempas seolah-olah menemui jalan buntu apabila perakam suara (CVR) pesawat rosak teruk.
Sebelum ini, usaha negara untuk mengekstrak data dengan menghantar CVR kepada pihak makmal di Singapura telah gagal.
Rentetan daripada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan ia akan dihantar ke kilang pengeluar di Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Khamis, Anthony memaklumkan bahawa Ketua Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sudah berlepas ke AS untuk menghantar ‘memory puck’ yang terdapat di dalam CVR untuk diekstrak dan dianalisa.
Beritahu beliau, Ketua BSKU menyatakan laporan awal kejadian akan dapat dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas nahas itu berlaku.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, sekiranya fasa mengeluarkan data daripada CVR itu gagal dibuat walaupun telah dihantar ke kilang pengeluar di Florida, AS maka perkara yang boleh dilakukan hanyalah andaian.
Sementara itu, menurut pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff, sekiranya CVR gagal untuk diesktrak, masih ada cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui punca nahas iaitu melalui penelitian secara mikro dan makro terhadap bahagian penting pesawat.
Diharapkan agar proses mengekstrak data di AS itu berjaya dilakukan supaya tidak timbul pelbagai spekulasi berkenaan nahas pesawat terhempas.