SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Group Five Poultry Farm Sdn Bhd menerusi Kedai Ikan Bajet memberi jaminan akan mengekalkan kualiti hasil laut gred A dan harga murah bagi mengurangkan beban ekonomi yang dihadapi rakyat.
Pengarah Urusannya, Datuk Abd Razak Abd Kadir berkata, pihaknya menjual lebih 12 jenis ikan termasuk sotong, ketam dan udang yang potongan harga lebih 50 peratus daripada harga yang ditawarkan di pasaran.
"Ikan kembung berharga RM18 hingga RM20 bagi setiap 1 kilogram (kg) tetapi di kedai Ikan Bajet kita jual RM7.50 hingga RM8 dan cencaru pula RM5.20, ikan selar (RM6.90) ikan Merah (RM21.90) dan banyak lagi produk hasil laut lain yang dijual.
"Produk ikan bajet ini diimport terus dari negara Islam seperti Oman, Yaman, Pakistan, India dan Indonesia,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Abd Razak, semua hasil laut itu akan dihantar ke kilang syarikatnya di Tampoi, Johor Bahru, yang boleh menampung sebanyak 400 tan ikan.
Ujarnya, ia akan diedar ke cawangan yang ada dan terus dijual kepada pengguna tanpa membabitkan orang tengah.
"Setakat ini, Kedai Ikan Bajet berada di Ampang Selangor, Taman Anggerik Kempas, Johor Bahru,dan dua lagi kedai rangkaianya yang akan dibuka pada bulan hadapan di Taman Seri Gombak dan Taman Daya Johor Bahru," ujarnya.