KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan sembilan premis makanan di daerah Machang ditutup selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, arahan tutup selama 14 hari itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Beliau memberitahu, Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 08/2023 pada Rabu itu memberi keutamaan kepada premis makanan di sekitar bandar Machang, sepanjang Lebuhraya Timur Barat sempadan Tanah Merah sehingga sempadan Pasir Puteh.
"Sebanyak 56 premis makanan diperiksa dalam operasi itu melibatkan 62 kakitangan JKNK," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Dr Zaini turut menegaskan, pemilik premis makanan dan pengendali bertanggungjawab memastikan premis mereka sentiasa bersih.
Bagaimanapun katanya, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan.
"Jika masih gagal mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, mereka diarahkan menutup premis bawah seksyen yang ditetapkan," katanya.
"Jika didapati gagal mematuhi arahan berkenaan, pemilik terbabit boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih ketika menikmati hidangan di luar.