SUNGGUHPUN namanya sedang panas dek komen-komen rakan selebriti dan juga netizen, namun, pelakon Nad Zainal mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang respons terhadap situasi berkenaan.
Selepas memberikan kenyataan mengenai dakwaan hubungan persahabatannya dengan rakan selebriti telah renggang, Nad dilihat mengambil pendekatan berdiam diri, terutama di media sosial.
Sungguhpun begitu, pelakon yang baru mendirikan tangga bersama aktor Ungku Ismail itu ada membalas komen seorang pengikut di ruangan komen di Instagram.
Terdahulu, Nabila Huda mendapat perhatian netizen apabila meninggalkan komen tidak mengenali Nad dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.
Dalam temu bual tersebut, Nad memberitahu enggan mengambil kisah dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.
Nabila menerusi temu bual bersama Gempak menegaskan dia sememangnya tidak mengenali individu bernama Nad Zainal dan menunjukkan bukti bahawa akaun Instagramnya telah disekat (block) oleh aktres itu.
Spekulasi bermasam muka antara Nad dan sahabatnya itu mula bertebaran selepas aktres itu pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.
Sebelum ini, Sherry pernah memberitahu dia dan Nad sudah lama tidak berhubung namun masih menyayangi aktres itu seperti adiknya. - Awani