Ibu maut selepas pulang jemput anak dari asrama

Iklan
Keadaan Proton Exora dan Proton Alza selepas bertembung di jalan berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit petang Khamis.

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu maut manakala dua anaknya selamat selepas kenderaan Proton Exora dipandunya bertembung dengan Perodua Alza di jalan berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit di sini petang Khamis.

Difahamkan mangsa, Mariani Omar, 44, yang berasal dari Felda Tenggaroh 2 itu dalam perjalanan selepas mengambil anaknya dari asrama di Bandar Penawar sebelum terbabit dalam nahas jalan raya kira-kira jam 3.40 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat kemalangan tersebut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi semasa menerima rawatan. Kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita tersebut memandu Proton Exora bersama dengan dua anak berumur antara 18 dan 15 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Kota Tinggi.

Iklan

"Kereta dipandu telah bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berumur dalam lingkungan 40-an.

"Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di HKT. Dua anak mangsa selamat dalam kejadian itu, ” katanya.

Iklan