PADANG TERAP - Penduduk Kampung Perupok, Kuala Pai Mukim Padang Temak merayu kerajaan menaik taraf jalan luar bandar di kampung mereka kepada jalan utama.
Penduduk, Saad Hashim, 82, berkata, jalan sepanjang tiga kilometer itu sudah menjadi laluan utama penduduk berulang alik kerja setiap hari.
Katanya, situasi itu mengundang bahaya kepada penduduk kampung kerana jalan berkenaan hanya seluas tiga meter sahaja.
"Jalan ni sempit sebab ini jalan kampung, tapi sekarang dah jadi jalan utama penduduk berulang alik dari Bandar Darulaman Jitra ke Kuala Nerang kerana lebih dekat.
"Tapi kereta luar ni selalu laju-laju, bahayakan orang kampung terutama budak-budak yang naik basikal. Kemalangan pun kerap berlaku melibatkan pemandu luar," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Saad yang juga ahli Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah berkata, dia pernah mengetengahkan masalah terbabit kepada pemimpin setempat pada tahun 2021, namun tiada jawapan.
Sementara itu, Roslan Ismail, 58, berkata, sekiranya jalan kampung mereka dinaik taraf, setidak-tidaknya penduduk sedar bahawa ia jalan utama.
"Jadi penduduk pun lebih berhati-hati. Kemalangan pun dapat dielakkan sebab jalan JKR (Jabatan Kerja Raya) pasti lebih lebar dari sekarang," katanya.
Tambah Roslan, jalan terbabit mula diturap pada tahun 2015 dan sejak itu ia menjadi laluan utama penduduk antara dua daerah berkenaan.
"Sebelum itu cuma jalan tanah merah, tapi sejak bertar mula la orang luar pun guna jalan di sini sebab lebih dekat. Waktu kemuncak adalah pada waktu depa masuk kerja dan balik kerja," katanya.
"Saad Hasan, 82, berkata, keadaan terbabit turut merisaukan kaum ibu yang menghantar anak-anak ke sekolah.
"Pagi-pagi semua orang sibuk, bila kereta luar pun banyak jadi sesak jalan kampung kami," katanya.