Ilham Centre syor 10 langkah rawat UMNO

Iklan

SHAH ALAM - Badan penyelidikan Ilham Centre mencadangkan 10 langkah untuk merawat semula UMNO yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, langkah pertama atau yang paling utama perlu dilakukan adalah dengan menyelesaikan masalah ketokohan yang menghimpit parti itu.

Iklan
Iklan

Katanya, ia kerana berdasarkan kajian yang dilakukan pihaknya jelas mendapati UMNO mempunyai masalah ketokohan apabila dua kelompok dalam parti itu iaitu akar umbi dan pemimpin memberikan pertimbangan berbeza berkait usaha untuk memulihkan parti berkenaan.

"Tetapi kalau di peringkat kepimpinan, mereka mengatakan bahawa UMNO mungkin mampu dipulihkan dengan cara pucuk pimpinan pujuk balik mereka yang sudah dibuang daripada parti untuk kembali ke dalam saf dan atur kembali UMNO kerana mereka dianggap sebagai aset serta masih mampu untuk menyumbang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis ketika membentangkan kajian 'Merawat Melayu: UMNO Perlu Bagaimana?' pada Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 bertajuk 'PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi' yang bersiaran secara langsung dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam PRN enam negeri yang lalu, BN merekodkan prestasi buruk apabila hanya berjaya menang di 19 kerusi berbanding 108 kerusi yang ditandingi.

Iklan

Mengulas lanjut, Mujibu menjelaskan, pertimbangan yang berbeza itu juga jelas menunjukkan bahawa ketokohan yang ada dalam UMNO sangat terhad.

"Kenapa terhad? Sebab kalau kepimpinan UMNO masih mengatakan nak ambil orang-orang lama itu untuk masuk kembali ke dalam UMNO bagi melakukan perubahan, ia serupa seperti kita pakai gincu baru, bibir lama. Mereka mahu lakukan perubahan tetapi dipimpin oleh orang lama.

"Masalah ketokohan ini berlaku di seluruh di semua peringkat UMNO iaitu dari peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat," tambahnya.

Mujibu memberitahu, langkah kedua, ketiga, keempat dan kelima adalah UMNO perlu melakukan pemulihan etika dan integriti, ideologi dan prinsip, menjalankan reformasi dalaman serta pembaharuan dasar.

Katanya, langkah keenam dan ketujuh pula UMNO mesti melakukan rundingan dengan rakan koalisi kerana parti itu sudah tidak menjadi 'abang besar' dalam gabungannya dan perlu mencipta situasi menang-menang serta mewujudkan komunikasi berkesan dalam parti mereka.

"Kelapan, UMNO perlu beri perhatian kepada generasi muda kerana dalam PRN lalu dalam konteks generasi muda, UMNO kalah dalam segenap aspek iaitu dari sudut komunikasi, strategi, damping, penjualan naratif disebabkan mereka tidak dilihat sebagai satu parti mesra orang muda selain dilihat sebagai parti yang terlampau elitis.

"Perkara kesembilan yang menjadi masalah dengan UMNO berbanding parti lain mereka jarang nak dengar data, mereka tak ambil peduli dan mereka perlekehkan. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian.

"Terakhir sekali UMNO perlu berkomunikasi dengan rakyat. Mereka tidak boleh lagi hanya menepis begitu sahaja kerana masalah besar UMNO ini kerana mereka masih lagi mengekalkan hanya berkomunikasi di peringkat elit dan berharap pimpinan elit ini akan berkomunikasi di bawah dan elit itu pula akan sekat informasi kalau kalau ia tidak menggembirakan orang atas," ujarnya.