IPOH - Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyokong usaha kerajaan memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara, tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim berkata, pelaksanaan itu sesuatu yang penting dalam meningkatkan sahsiah dan pemikiran pelajar melalui kerangka hadis Nabi SAW.
Menurutnya, usaha itu boleh dianggap sebagai langkah menyebarkan pengajaran dan intipati kandungan yang positif kepada semua lapisan masyarakat, termasuklah masyarakat berlainan agama.
"MUIS melihat usaha ini penting bagi menzahirkan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang bersifat sejagat dan universal, bersesuaian dengan perutusan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.
Timbalan Mufti Perak itu mahu semua pihak bersikap terbuka dalam menanggapi pelaksanaan modul tersebut kerana hakikat sebenar inisiatif itu menepati aspirasi kenegaraan yang beridentitikan negara Islam.
"MUIS juga menyarankan agar semua agama yang diamalkan di Malaysia membuktikan bahawa pengamalan agama mereka tidak menolak atau tertutup dalam menerima identiti kenegaraan Malaysia yang berdiri atas tunggak agama Islam dan orang Melayu serta sistem beraja yang telah dibina sekian lama," katanya
Pada 19 Ogos lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Modul itu akan mula dilaksanakan di SMKA dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Modul berkenaan membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca serta dihayati.
BERITA BERKAITAN:
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat
61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi - KPM
KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar
Terbit semula hadis 40 Imam Nawawi, pupuk kefahaman agama - PM
Pengajian hadis 40, bukan Islam tidak berhak persoal - Mapim