KANGAR - Perlis menggalakkan penjawat awam di negeri itu memakai Kebaya Perlis pada hari bekerja sebagai usaha mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Wan Badariah Wan Saad berkata, Kebaya Perlis dipakai oleh golongan istana dan bangsawan sejak 1930-an lagi dan perlu diketengahkan semula agar warisan itu terus dipelihara.
"Busana ini menjadi amat masyhur pada zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail iaitu Raja Perlis yang keempat (1904-1943) dan menjadi ikutan rakyat jelata untuk ke majlis-majlis kenduri.
"Sempena TMP 2024-2025, kita harap busana Melayu ini dipopularkan kembali agar dapat dijadikan satu daripada produk tarikan pelancongan dan kita perlukan sokongan daripada semua pihak khususnya penjawat awam negeri,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Katanya, baju Kebaya Perlis mempunyai keunikannya tersendiri dan sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat kerana potongan longgar dan menutup aurat wanita.
"Selain waktu bekerja, Kebaya Perlis juga selesa dipakai pada majlis rasmi, kenduri dan musim perayaan seperti sambutan Hari Kebangsaan, Aidilfitri dan sebagainya,” katanya.
Menurut Wan Badariah, usaha mempopularkan kembali Kebaya Perlis dapat membantu mengembangkan ekonomi penduduk setempat khususnya pengusaha kedai jahit, butik pengantin dan individu khususnya suri rumah yang berkemahiran menghasilkan busana itu.
Sementara itu, pengarah Muzium Kota Kayang, Siti Munirah Kasim berkata, Kebaya Perlis mempunyai pengaruh daripada unsur negara Arab iaitu potongannya menutup aurat, tiada pesak dan kekek pada awalnya.
"Baju Kebaya Perlis yang ada pada hari ini melalui evolusi daripada perubahan zaman namun ciri-ciri aslinya masih ada,” katanya.
Beliau berkata saranan kerajaan untuk penjawat awam memakai baju Kebaya Perlis dapat mengekalkan identiti dan memelihara warisan negeri Perlis itu.
"Daripada pengalaman saya sendiri, baju Kebaya Perlis selesa dipakai untuk ke tempat kerja kerana potonganya yang longgar dan menggalakkan petugas saya memakai Kebaya Perlis dan Batik Malaysia bila bertugas,” katanya. - Bernama