JOHOR BAHRU – Pemilihan Surah Al-Insan yang diketengahkan pada Malaysia #QuranHour sempena Hari Kebangsaan 2023 membawa makna yang besar dan bertepatan dengan tema iaitu 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.
Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ), Roziah Kamal turut berharap surah berkenaan dapat dihayati kesemua peserta yang menyertai program tersebut di Masjid Al-Asma’ul Husna, Bandar UDA Utama di sini, Rabu depan, dalam usaha membentuk karakter al-abrar atau berakhlak mulia.
"Oleh itu, umat Islam perlu sama-sama memahami dan mengamalkan intipati yang diketengahkan dalam Surah Al-Insan yang diangkat sebagai surah utama dengan membawa tema ‘memanusiakan manusia (Humanizing the Ummah) melalui agenda Humanizing the Home, Humanizing the Workplace, Humanizing the Nation serta Humanizing the World dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian 16 Ogos lalu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat tiga surah pilihan bagi penganjuran Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran kali kesembilan yang turut mendapat kerjasama daripada 19 rakan sinergi media itu memberi fokus kepada agenda anak muda dan peranan orang dewasa dengan membawa misi 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.
Tiga surah yang dimaksudkan adalah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr yang menjadi penghubung kepada usaha melahirkan golongan muda berkemahiran dalam membina projek pembangunan negara sekali gus melahirkan pemimpin soleh.
Sementara itu, selain PPRNNJ penganjuran program kali ini turut mendapat kerjasama daripada ahli-ahli jawatankuasa Masjid Al Asma’ul Husna, Bandar UDA Utama.
Program yang dilaksanakan sejak 2015 lalu itu adalah sebuah program satu jam bersama al-Quran, sebagai permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabur, Tazakkur (QTT) dan dijangka dihadiri lebih 1,000 jemaah dari seluruh Johor.
Sementara itu Roziah berkata, selain Surah Al-Insan, dua lagi surah, Surah Al-Asr dan Al-Fatihah akan ditadabur oleh pentadabur bertauliah.
Katanya, kesemua surah berkenaan perlu difahamkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
"PPRNJ akan terus melaksanakan pelbagai program memperkasakan al-Quran secara konsisten demi mencapai matlamat penubuhan pertubuhan ini iaitu membawa masyarakat membaca dan memahamkan.
"Selain itu, masyarakat juga diharap dapat dan mengamalkan saranan-saranan serta pesanan-pesanan yang telah termaktub dalam al-Quran,” katanya.