ALOR SETAR - Kedah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA 2019 dengan agregat 4-2 selepas terikat 1-1 dengan PKNS FC pada suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Tuan rumah yang mencatatkan kemenangan 3-1 pada suku akhir pertama pada 30 Mei lalu diasak pelawat sebaik wisel pertama dibunyikan.
Gabriel Guerra hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit ke-9 namun sepakan percuma sekadar singgah di palang gol Kedah.
Bagaimanapun, tuan rumah berjaya mengejutkan PKNS FC pada minit ke-16 untuk berada di hadapan 1-0 hasil jaringan Jonathan Bauman yang memanfaatkan lorongan Fernando Ortega dari sebelah kanan.
The Red Ants kembali mengatur corak permainan untuk memburu gol penyamaan 1-1 dan berhasil melakukannya pada minit ke-30 hasil kesilapan pertahanan tuan rumah, Azmeer Yusof yang tertampan bola ke gol sendiri hasil gerakan Gabriel.
Sebaik separuh masa kedua bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang dan PKNS FC berusaha memberi tekanan kepada kubu Kedah.
Pada minit ke-71, PKNS FC berpeluang untuk berada di hadapan menerusi Kpah Sherman yang menyambut hantaran Tommy Mawat Bada namun percubaannya sedikit tersasar.
Selang sembilan minit kemudian, pemain gantian pelawat, Faizat Ghazli mencuba nasib dengan menanduk gol ke arah pintu gol tuan rumah namun jauh tersasar.
Masa tambahan empat minit yang diberikan oleh pengadil perlawanan gagal dimanfaatkan oleh pelawat dan keputusan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat.