PRK: Tiada lagi alergik antara BN dan PH - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) menyerahkan insentif kepada penerima dalam Majlis Perasmian Program Belia dan Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi, Johor Bahru pada Jumaat

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada lagi alergik antara BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas lebih lapan bulan kedua-dua gabungan politik itu bersama.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata, dua gabungan politik berkenaan kini tiada masalah dan boleh terus bekerjasama atas nama Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

"Ketepikan prasangka antara kita, dulu kita alergik dengan baju warna merah (warna rasmi PH), mereka (orang PH) lebih lagi (alergik dengan BN). Sekarang tidak ada biru atau merah. Sekarang kita dalam kebersamaan," ujar Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Belia dan Desa Madani @KKDW di B5 Street Market, Tampoi di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Katanya, semua kebersamaan itu penting untuk BN dan PH berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

Iklan

Menurutnya, kemenangan BN dan PH dalam dua PRK tersebut amat penting dalam usaha mengukuh dan menterjemahkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Kata Ahmad Zahid, Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram perlu kekal dan terus menjadi 'tapak' atau kubu politik bagi dua gabungan tersebut di negeri ini.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, apabila Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) datang daripada BN dan PH, itu akan memudahkan hubungan antara kerajaan negeri serta kerajaan Pusat.

"Terus beri kepercayaan (kepada BN dan PH)...ini bukan kempen tapi majlis lain...tapi (saya) tidak ambil peluang ini (untuk berkempen dalam majlis ini) tapi ambil peluang beri pesanan kerana (pesanan itu) ada kaitan untuk anak muda," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga mengingatkan umat Islam berkenaan janji satu kumpulan yang menawarkan syurga jika menyokong mereka.

Kumpulan tersebut katanya, perlu ditolak apatah lagi menjelang kempen dua PRK tersebut yang akan dibuka 'gelanggangnya' pada Sabtu.