ISKANDAR PUTERI - Kerjasama jelas dalam Kerajaan Perpaduan membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menangkis pelbagai cabaran dan seterusnya menyelamatkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu jelas memandangkan pembangkang kini dirasakan menggunakan kaedah ektremis dengan memainkan isu kaum dan agama untuk menarik sokongan rakyat.
Tambah beliau, perkara itu tidak ubah seperti gerakan-gerakan fasisme yang banyak berlaku dalam suasana politik negara barat seperti Amerika Syarikat (AS).
"Walaupun tidak sama sepenuhnya, namun kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman, pertarungan ini lebih rumit daripada biasa kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukan sebaliknya menggunakan pertimbangan rasional.
"Perkara ini bukan asing di dunia khususnya di benua Eropah, kebangkitan neo nazi dan fasisme yang menyebabkan segerombolan kalangan muda membenci kaum minoriti, orang asing dan agama lain.
"Jadi jawapannya adalah dengan menggunakan landasan kebijaksanaan dan pertimbangan waras bagi memahami semangat Malaysia tulen. Jadi dengan aspek progresif PH serta pengalaman pentadbiran BN, gabungan ini adalah wadah terbaik selamatkan Malaysia sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan kerajaan pimpinannya komited memastikan hak masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai golongan majoriti di negara ini kekal terjamin
"Tiada sesiapa boleh pertikai negara ini dan mereka terima kehadiran Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti. Sebab itu bahasa, agama dan hak istimewa Melayu dalam kerajaan perpaduan jelas dan tidak akan dimungkiri.
"Jangan ada kekhuatiran dalam soal itu, kita terima pakai prinsip dalam Perlembagaan dan tidak sama sekali meremehkan, merendahkan atau hina malah santuni dan anggap semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu pasukan keluarga untuk selamatkan Malaysia," ujarnya.