Langkah Pearly-Thinaah terhenti di suku akhir

Iklan
Pearly (kanan) dan Thinaah terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen sebentar tadi.

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur perjuangan mereka terhenti sehingga peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.

Faktor pengalaman ternyata menjadi pemisah buat Pearly-Thinaah apabila tewas 21-17, 17-21, 19-21 kepada pilihan keenam dari China, Zheng Shuxian-Zheng Yu di Royal Arena sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Pearly-Thinaah mencipta kejutan apabila menumbangkan bekas juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara untuk melangkah ke suku akhir.

Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking ke-11 dunia tampil cemerlang apabila merakamkan kemenangan 21-14, 22-20 ke atas beregu keempat dunia dari Jepun itu.

Iklan

Kejayaan itu membolehkan Pearly-Thinaah muncul beregu wanita pertama negara layak ke suku akhir Kejohanan Dunia selepas kali terakhir dilakukan gandingan Amelia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015.

Pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun, Pearly-Thinaah tersingkir di pusingan ketiga selepas tumbang di tangan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Iklan

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir di peringkat suku akhir apabila tewas 11-21, 11-21 kepada pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.