Sentimen berwaspada punca ringgit ditutup tinggi

Iklan
Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat. - Gambar hiasan

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan selera risiko dalam pasaran terjejas oleh sentimen berwaspada.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.6385/6430 berbanding dolar AS daripada 4.6435/6485 yang dicatatkan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga berkata, para pedagang mula berwaspada menjelang ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole malam ini, seterusnya, mengubah permintaan ke arah mata wang lain.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran akan memantau dengan teliti ucapan beliau kerana ia dijangka memberi lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari AS.

Iklan

"Pasaran dilihat tidak mempunyai hala tuju sejak beberapa hari lepas dan pelabur sedang mencari petunjuk baharu untuk dolar AS serta ringgit,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengumumkan Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHPI turun kepada 2.0 peratus pada Julai 2023, terendah untuk tahun ini dengan mata indeks dicatatkan pada 130.5 berbanding 127.9 semasa bulan yang sama 2022.

Iklan

Inflasi, yang berada pada 2.4 peratus dari tahun ke tahun untuk Jun, telah menunjukkan aliran sederhana sejak Januari, apabila ia berada pada 3.7 peratus.

Mohd Afzanizam berkata, IHP yang lebih rendah akan menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) kurang bermotivasi untuk meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam tempoh terdekat.

"Namun begitu, ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual berbanding dolar AS. Oleh itu, kemungkinan ia mula mengukuh adalah sesuatu yang tidak boleh kita tolak sama sekali,” katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM telah mengekalkan OPR pada 3.0 peratus semasa mesyuaratnya pada Julai. Mesyuarat seterusnya dijadualkan menjelang 6 hingga 7 September depan.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.8385/8441 daripada 5.8829/8892 yang disaksikan semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1757/1790 daripada 3.1932/ 1968 dan menokok berbanding euro kepada 5.0054/0103 daripada 5.0373/0427.

Ringgit kebanyakannya lebih mantap berbanding mata wang Asean lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4202/4238 daripada 3.4292/4332 dan lebih baik berbanding baht Thailand kepada 13.2121/2309 daripada 13.2645/2848 sebelum ini.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.2/303.7 daripada 304.5/305.0 tetapi susut berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.17/8.19. - Bernama