'Setiap negeri ada harga diri' - Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membidas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan Terengganu termasuk dalam negeri yang menerima peruntukan besar namun tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Katanya, setiap negeri memainkan peranan tersendiri sehingga membolehkan ia dibentuk menjadi sebuah negara, malah hasil yang dikumpulkan oleh negara diperoleh dari semua rakyat dan negeri.

Iklan
Iklan

"Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan.

"Maka semua negeri-negeri ada harga diri dan peranannya, kerana Malaysia dibina dari semua negeri-negeri ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, pada Jumaat.

Iklan

Tambah beliau, senarai projek pembangunan di semua negeri telah melalui proses perbincangan dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Bila kata bincang, bermakna kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua kerajaan negeri.

Iklan

"Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama dan bukan negeri seorang diri. Kenapa negeri yang nak diperlekehkan?.

"Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor kerana pihak menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mempersoalkan batasan hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang dilihat masih tidak harmoni.

"Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. 'Bye-bye' (selamat tinggal) keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua," ujarnya menerusi hantaran itu.

Kata beliau lagi, kerajaan tidak boleh menghukum rakyat selepas mereka memilih siapa yang akan diberi mandat untuk menerajui sesebuah negeri sebaliknya perlu memastikan negara bergerak pantas ke hadapan.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata, kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama bagi negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Katanya, ketika ini terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Namun, katanya, sebahagian negeri berkenaan tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.