Denmark haramkan pembakaran al-Quran

Iklan
Dari kiri Menteri Luar Negeri, Lars Lokke Rasmussen; Menteri Kehakiman, Peter Hummelgaard dan Timbalan Perdana Menteri, Jakob Ellemann-Jensen pada sidang media di Copenhagen, Denmark, pada Jumaat. - Gambar AP

COPENHAGEN - Kerajaan Denmark merancang untuk mengharamkan pembakaran al-Quran susulan penghinaan terhadap kitab suci umat Islam itu di negara Scandinavia yang telah mencetuskan kemarahan di negara-negara Islam.

Menurut Menteri Kehakiman Denmark, Peter Hummelgaard, kerajaan negara itu akan membentangkan Rang Undang-Undang yang akan ‘mengharamkan tindakan yang tidak sesuai terhadap objek yang mempunyai kepentingan jelas kepada komuniti agama.’

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan, undang-undang tersebut ditujukan terutamanya bagi pembakaran dan penghinaan di tempat awam.

Hummelgaard berpendapat, pembakaran kita suci al-Quran itu merupakan ‘tindakan yang pada asasnya menghina dan tidak bersimpati’ sehingga ‘memudaratkan Denmark dan kepentingannya’.

Iklan

Undang-undang baharu ini kelak, jelas beliau, akan terangkum dalam 12 bab Kod Panel Denmark, yang meliputi keselamatan negara.

Keselamatan negara, kata Hummelgaard, menjadi ‘sebab’utama pengharaman tersebut.

Iklan

"Kami tidak akan terus berdiam diri ketika beberapa individu melakukan apa saja yang mereka boleh lakukan untuk mencetuskan kemarahan,” ujar beliau dalam sidang media, pada Jumaat.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan, undang-undang yang sama juga akan diguna pakai terhadap kitab Injil dan Taurat.

Undang-undang yang akan diperkenalkan di Denmark kelak akan memperuntukkan denda dan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Rang Undang-Undang ini akan dibentangkan di Parlimen pada 1 September ini iaitu selepas enam tahun Denmark memansuhkan undang-undang penghinaan agama yang berusia 334 tahun.

Dalam masa sama, Menteri Luar Negeri Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata, tindakan membakar al-Quran telah mencetus"kemarahan besar-besaran di seluruh dunia."

"Kami telah sedaya upaya membendung kemarahan ini. Ketika ini, suasana cukup tenang, namun, tidak pasti dan sukar untuk dijangkakan (apa yang akan terjadi pada masa depan)," kata beliau dalam sidang media yang sama.

Pada tahun 2006, gelombang kemarahan dan kekerasan anti-Denmark meletus di dunia Muslim susulan penerbitan karikatur Nabi Muhammad. - Agensi