ANTANANARIVO - Sekurang-kurangnya 13 maut termasuk tujuh kanak dalam insiden rempuhan di ibu kota Madagascar, Antananarivo pada Jumaat.
Menurut ahli Parlimen tempatan, Hanitra Razafimanantsoa kejadian itu berlaku di pintu masuk Stadium Barea di mana hampir 50,000 orang berasak-asak untuk menghadiri upacara perasmian Sukan Kepulauan Lautan Hindi.
Katanya, setakat ini 107 orang dilaporkan cedera.
Sementara itu, Palang Merah dalam satu kenyataan menyebut bahawa senarai akhir mangsa terbunuh dalam insiden itu belum dimuktamadkan lagi, namun ia mengesahkan kematian turut melibatkan mangsa bawah umur.
Perdana Menteri, Christian Ntsay pada awalnya meletakkan jumlah mangsa maut adalah 12 dan sekitar 80 orang cedera.
Punca tragedi itu masih belum disahkan tetapi Palang Merah berkata jumlah korban mungkin akan bertambah.
"Ada ramai orang di pintu masuk yang menyebabkan rempuhan,” kata Antsa Mirado, pengurus komunikasi Palang Merah kepada AFP.
Presiden Madagascar Andry Rajoelina yang hadir majlis perasmian itu mengajak majlis berkabung diadakan.
"Tragedi berlaku kerana tolak menolak. Ada yang cedera dan meninggal dunia di pintu masuk,” katanya seperti disiarkan televisyen.
Stadium Barea turut menjadi tempat kejadian rempuhan pada 2019 yang menyaksikan 16 maut termasuk tiga kanak-kanak dan berpuluh lagi cedera semasa sebuah konsert dianjurkan sempena cuti umum negara itu.
Pada 2016, letupan bom buatan sendiri pada sambutan Hari Kemerdekaan menyebabkan tiga maut dan beratus lagi cedera turut berlaku di stadium berkenaan. - AFP