Nikmati lebih 40 tan durian pelbagai jenis di dataran Jambatan Angkat

Iklan
Raja buah turut dijual di gerai jualan usahawan sempena FAMA Fest @ Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall berdekatan Jambatan Angkat yang berlangsung bermula 25 hingga 29 Ogos ini. - Foto Fama Negeri Terengganu

MARANG - Orang ramai dipelawa untuk menikmati lebih 40 tan durian pelbagai jenis termasuk durian premium sempena Program 'Makan Durian Sampai Jeluak' anjuran Jabatan Pertanian Negeri Terengganu di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada 1 dan 2 September depan.

Program dengan kerjasama agensi kerajaan negeri termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu akan menampilkan durian premium seperti musang king dan black thorn yang akan dijual pada harga berpatutan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, acara jualan itu akan diadakan bermula jam 3 petang hingga semua stok durian habis dijual.

Menurutnya, program jualan secara langsung kepada orang ramai itu akan disertai lebih 200 pekebun durian dari seluruh Terengganu dan dijangka dihadiri oleh lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.

Iklan

"Konsep jualan kita ialah pekebun akan berinteraksi sendiri dengan pembeli untuk menawarkan durian yang dihasilkan di kebun mereka pada harga berpatutan sekali gus dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kedua belah pihak.

"Inisiatif yang diambil oleh Jabatan Pertanian ini juga bertujuan memberi peluang kepada golongan B40 untuk menikmati durian segar pada harga lebih rendah berbanding pasaran," katanya kepada pemberita selepas meninjau kebun durian milik pengusaha di sekitar Kampung Sungai Serai dan Bukit Gondang di sini, baru-baru ini.

Iklan

Sementara itu, katanya, walaupun musim buah durian di Terengganu tahun ini 'menjadi' sehingga berlaku lambakan, harga raja buah itu masih stabil disebabkan permintaan tinggi termasuk dari negeri-negeri lain.

Jelasnya, ia sebagai dorongan kepada semua pengusaha durian agar mengekalkan teknik penjagaan terbaik supaya dapat menghasilkan durian berkualiti tinggi yang sentiasa laris dan mendapat permintaan tinggi.

"Ada lebihan durian Terengganu akan dipasarkan ke luar seperti Selangor dan beberapa negeri lain bergantung kepada perbincangan yang diadakan oleh Jabatan Pertanian negeri memandangkan durian tidak luruh serentak di seluruh negara," katanya.