KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan pendidikan politik di sekolah menengah perlu dimantapkan dengan mengimplementasikan latihan praktikal seperti mengadakan pilihan raya agar pelajar lebih memahami sistem demokrasi negara.
Perkara tersebut dibahaskan 10 perwakilan di Dewan Persidangan Parlimen sempena Debathon Parlimen Belia 2023 bertajuk Implementasi Pendidikan Politik di Sekolah Menengah.
Perwakilan dari blok kerajaan yang juga pelajar Kolej Islam Antarabangsa, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi, 18, berkata, pendidikan politik wajar dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah menengah.
Ujarnya, ia bagi memberi pendedahan awal berhubung sistem demokrasi dan politik yang merangkumi hak sebagai rakyat.
"Sekarang ini kita ketandusan pengetahuan politik, jadi bagi menjaga kesejahteraan, kemakmuran negara, pendedahan itu perlu bermula daripada peringkat sekolah menengah.
"Undi18 telah diluluskan dan dilaksanakan ketika Pilihan Raya Umum lalu, kita tidak mahu golongan muda hilang arah kerana ia akan memberi kerosakan kepada negara," katanya yang dinobatkan sebagai pendebat terbaik program itu pada Sabtu.
Sesi perbahasan tersebut dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Perwakilan dari blok pembangkang yang juga mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ummi Khalilah Azman, 22, pula menggesa kerajaan memastikan pendidikan politik diperkasakan dengan menjalankan aktiviti atau program berkaitan politik terutama proses pilihan raya.
Namun ujarnya, kerajaan perlu mengkaji tahap kesesuaian subjek itu dengan lebih mendalam bagi mengelak sebarang kepincangan yang akan membebankan guru dan pelajar.
"Sepatutnya kerajaan perlu memantapkan dan mengekalkan subjek sedia ada bukan menambah satu lagi mata pelajaran.
"Emosi mental mereka juga perlu dititikberatkan kerana impak yang buruk akan memudaratkan kesihatan pelajar. Mereka akan hilang tumpuan sekali gus menjejaskan pembelajaran," katanya.